Gara-gara dendami bekas kekasih, anak pemandu Gojek maut

JAKARTA, 3 MEI – Anak lelaki kepada seorang seorang pemandu e-hailing Gojek maut selepas memakan juadah berbuka puasa beracun yang dikirim seorang wanita yang berdendam dengan bekas kekasihnya.

Nani Aprilliani, 25, mengirim juadah sate ayam yang ditabur racun sianida kepada bekas kekasihnya bernama “Tomy” melalui pemandu Gojek berkenaan bernama “Bandiman”.

Direktur Siasatan Jenayah Umum, Polis Bantul, Yogyakarta, Jawa Barat, Burkan Rudi Satria dipetik media tempatan hari ini sebagai berkata isteri Tomy enggan menerima kiriman berkenaan kerana tidak mengenali pengirimnya, Bandiman kemudian membawanya pulang dan dijadikan juadah berbuka bersama isteri dan anaknya.

Anaknya Naba Faiz Prasetya, 10, muntah sejurus memakan sate berkenaan dan dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Kejadian berlaku pada 25 April dan hasil siasatan polis mendapati suspek wa-nita berkenaan berasal dari Majalengka, Jawa Barat, ditahan pada Jumaat lalu, katanya kepada media tempatan hari ini.

Berdasarkan siasatan polis, Burkan Rudi Satria berkata kejadian itu bermotifkan dendam selepas Tomy berkahwin dengan wanita lain.

Nani membeli sate ayam dan menaburkan racun itu sebelum meminta Bandiman yang sedang berehat di Jalan Gayam, Yogyakarta, untuk menghantarkan juadah itu ke rumah Tomy di Bantul di Yogyakarta.

Suspek tidak menggunakan aplikasi dalam talian dan tidak memberikan identitinya yang sebenar. Dia berhadapan hukuman mati jika sabit kesalahan. –Bernama