Gara-gara gemuk, jumlah penumpang gondola dikurangkan di Venice

ROM, 23 JULAI – Venice sedang mengurangkan jumlah pelancong yang mampu dibawa oleh gondolanya, kerana ramai mempunyai berat badan berlebihan menyebabkan bot berisiko tenggelam dalam air, beritahu pendayung gondola kepada AFP semalam.

Bandar terusan itu sedang mengurangkan jumlah penumpang yang dibenarkan dari enam orang pada satu masa kepada lima, untuk mengelak air daripada menyendeng kapal kecil itu, kata Roberto Luppi, bekas ketua persatuan pendayung gondola Venice.

Masalah yang dihadapi adalah “berat badan purata setiap pelancong, dan juga air terusan semakin terjejas oleh lalu lintas motobot,” kata beliau.

Beliau berkata tindakan yang diambil adalah satu langkah keselamatan, bukan usaha untuk menambah keuntungan pendayung gondola dengan menempatkan pelanggan dalam lebih banyak bot.

Pengurangan itu juga membabitkan gondola ‘da parada’ yang lebih besar yang berulang-alik di Terusan Besar, dengan jumlah penumpang dikurangkan dari 14 kepada 12.

“Dari beberapa negara, ia bagai bom dipasang dan apabila bot dipenuhi penumpang, badan bot tenggelam dan air akan masuk,” beritahu Raoul Roveratto, ketua persatuan pendayung gondola, kepada akhbar Repubblica. – AFP

Gambar fail menunjukkan pelancong dalam gondola di Terusan Gran di Venice. – AFP