BARCELONA, SEPANYOL, 8 DIS – Polis Sepanyol sedang mencari 14 orang yang melarikan diri dari sebuah kapal terbang di lapangan terbang Barcelona selepas ia membuat pendaratan kecemasan semalam untuk mendapatkan bantuan bagi seorang wanita hamil yang didakwa berpura-pura sakit hendak bersalin, kata pihak berkuasa.
Pejabat kerajaan Sepanyol di rantau Catalonia berkata kejadian itu berlaku apabila penerbangan Pegasus Airlines dari Casablanca, Maghribi, ke Istanbul membawa 228 penumpang meminta pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Josep Tarradellas Barcelona-El Prat.
Ketika wanita itu sedang dipindah dari kapal terbang, 27 penumpang keluar dari pesawat tanpa kebenaran dan ‘cuba melarikan diri,’ menurut pegawai.
Polis menahan 13 di antara mereka, manakala 14 berjaya melarikan diri dari lapangan terbang dan masih bebas.
Wanita itu yang disangka sakit hendak bersalin ditahan atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam selepas doktor di hospital berkata wanita itu belum tiba masanya untuk bersalin.
Daripada 13 penumpang yang ditahan polis, lima bersetuju meneruskan penerbangan ke Istanbul. Lapan yang lain disoal siasat kerana tidak mempunyai dokumen memasuki Sepanyol dan dijangka menaiki penerbangan Pegasus lain, kata pegawai. – AP