Pelakon, Shah Rukh Khan (SRK) ditahan pihak kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai pada Jumaat gara-gara membawa jam tangan jenama mewah yang dianggarkan bernilai RM103,000.
SRK yang tiba dari Sharjah bagi menghadiri sebuah acara diminta untuk membayar cukai sebanyak RM39,000 sebelum dibebaskan oleh pihak berkuasa.
Menurut laporan daripada Bollywoodhugama, pelakon filem Dilwale ini tiba di lapangan terbang berkenaan dengan menaiki jet peribadi.
Dia bersama beberapa pihak pengurusan termasuk pengawal peribadi ditahan dan hasil pemeriksaan bagasi, pihak kastam menjumpai enam utas jam tangan mewah.
SRK dibebaskan selepas selesai prosedur kastam, namun beberapa orang lain yang turut sama dalam penerbangan tersebut ditahan lebih lama bagi menjalani siasatan.
Pelakon berkenaan sebelum itu hadir ke acara Festival Buku 2022 di daerah Sharjah di mana dia menerima anugerah Ikon Filem dan Kebudayaan. – Agensi