TOKYO, 21 MEI – Pemandu sebuah kereta api berkelajuan tinggi Jepun telah memberikan kawalan kepada seorang konduktor tanpa berkelayakan supaya dia boleh pergi ke tandas, menurut operator kereta api.
Kunjungan ke tandas oleh pemandu itu mungkin tidak diketahui, kecuali kereta api tersebut lewat satu minit, yang mendorong siasatan dilancarkan di sebuah negara yang amat mementingkan masa.
Pemandu itu mengaku dia telah meninggalkan tempatnya selepas mengalami sakit perut, dan menyerahkan kawalan kereta api dengan 160 penumpang kepada seorang konduktor supaya dia boleh pergi ke tandas.
Dia meninggalkan tempatnya selama tiga minit ketika kereta api bergerak pada 150 kilometer sejam.
Kereta api berkelajuan tinggi dikawal ketat oleh sistem komputer, namun pemandu diwajibkan mengawal untuk menghadapi sebarang situasi yang tidak dijangka, beritahu jurucakap kepada AFP.
Mereka juga perlu membrek atau memecut secara manual untuk memastikan keselamatan dan jadual masa perjalanan kereta api. Rahsia pemandu terbongkar apabila kereta api tiba di stesen lewat satu minit. – AFP