Gara-gara kulit kelapa

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 13 OGOS – Gara-gara membuang sampah di kawasan awam di Kuala Belait, seorang penduduk tetap telah dikenakan denda kompaun $100 oleh Bahagian Penguatkuasaan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria.

Wong Chui Yit telah didapati membuang kulit kelapa di kawasan awam belakang kedai di Jalan Bunga Raya, Kuala Belait, yang merupakan satu kesalahan di bawah Penggal 30, Seksyen 12 (1)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

Pesalah diberikan tempoh tujuh hari untuk membayar denda berkenaan dan jika gagal boleh dibawa ke mahkamah di mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda $1,000 atau sebulan penjara bagi kesalahan pertama dan denda $3,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan bagi kesalahan seterusnya.

Sehubungan dengan ini, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria mengingatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang di bawah Akta Kesalahan-kesalahan kecil dan tidak membuang sampah di tempat awam bagi memastikan kebersihan alam sekitar sentiasa terjaga.

Orang awam yang ingin membuat aduan mengenai pembuangan sampah yang tidak bertanggungjawab boleh menghubungi talian hotline 8896108.

Kulit kelapa yang ditemui dibuang di kawasan awam. – Gambar oleh Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria