Gara-gara loteri, kereta terjun laut

BUTTERWORTH, 2011 – Kegembiraan lima sahabat untuk meraikan wang loteri yang dimenangi berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatir lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke laut dekat Dermaga Bagan Dalam di sini.

Menurut laporan akhbar edisi online, sebelum kejadian kira-kira 12:45 tengah malam itu, lima lelaki terbabit dari Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah ke pekan Bukit Mertajam untuk meraikan kejayaan dua rakan mereka memenangi wang loteri.

Mereka dipercayai mengambil minuman keras sebelum pulang dengan sebuah kereta dipandu seorang daripada mereka yang berusia 24 tahun.

Kereta dinaiki mereka melalui laluan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Pulau Pinang, namun pemandunya, dipercayai tersilap haluan apabila memasuki susur ke Dermaga Bagan Dalam milik Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

Difahamkan, kereta dinaiki lima lelaki terbabit meneruskan perjalanan ketika sampai di pos kawalan dermaga berikutan penghadan di laluan masuk rosak dan sedang dibaiki.

Bagaimanapun, kereta berkenaan dikatakan gagal berhenti, malah pemandunya memecut ke arah pelabuhan sebelum terjunam ke dalam laut yang dianggarkan sedalam kira-kira sembilan meter.