Gara-gara mencuri, 2 lelaki dipenjara 9 bulan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Dua lelaki yang mencuri enam gegelung kondenser penyejuk dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Hukuman diputuskan Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman terhadap Abdul Rajak bin Jumat, 39, dan Mohammad Rus Andy bin Haji Salleh, 38, yang mengaku bersalah mencuri gegelung kondenser penyejuk dari kawasan simpanan mesin penyejuk di Pusat Kesihatan Muara antara jam 6 petang ke 8:30 malam pada 13 Jun 2019.

Manakala rakan mereka, Bahrin bin Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan bakal dibicarakan.

Fakta kes menyebut, tertuduh menyewa pikap bersama pemandunya untuk memunggah gegelung kondenser penyejuk tersebut dan membawanya ke Kampung Manggis.

Tertuduh membuat rundingan bersama rakan kepada pemandu pikap untuk membantu mereka menjual gegelung kondenser penyejuk itu.

Keesokan harinya, gegelung kondenser penyejuk dapat dijual pada harga $1,140 dan $600 diberikan kepada tertuduh yang kemudian membahagikan wang itu dengan rakan sejenayahnya.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hidayatul Aeny Alisah binti Haji Zullizam.