Gara-gara miliki peralatan mengambil dadah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan asing dijatuhi denda $400 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memiliki peralatan untuk mengambil dadah pada 2013.

Muhammad Faiz bin Zaidin, 21 dan Mansor bin Ommar, 39, mengaku salah di hadapan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain atas tuduhan yang dibacakan.

Kedua-dua mereka melakukan kesalahan itu untuk tujuan mengambil methamphetamine yang mana peralatan mengambil dadah itu ditemui dalam sebuah kereta di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 16 November 2013.

Mansor memberitahu mahkamah bahawa dia akan membayar denda tersebut esok, manakala itu, Muhammad Faiz meminta tempoh dua minggu untuk menjelaskan denda itu.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah membenarkan tempoh bayaran denda diberikan dan melepaskan kedua-duanya dengan ikat jamin. Jika gagal membayar denda itu, mereka diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama dua minggu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Narkotik, Sofimah binti Ramlee.