Tuesday, April 22, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gara-gara watak jahat, peniaga tak mahu jual kuih kepada Pablo

    Gara-gara sering membawa watak antagonis dalam drama televisyen (TV) dan layar perak, Pablo Amirul mengaku sering menjadi mangsa kebencian masyarakat.

    Memetik dari Berita Harian, Pablo berkongsi insiden berdepan seorang peniaga wanita yang enggan menjual kuih kepadanya hanya kerana percaya dia jahat.

    “Paling tidak dapat saya lupakan adalah kejadian di Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu, apabila ada seorang makcik tak mahu jual kuih kepada saya sebab terbawa-bawa perasaan benci terhadap watak lakonan.

    “Saya kemudian meminta pembantu peribadi untuk ‘borong’ semua kuih jualannya sambil memberitahu pembeli kuih itu adalah orang yang dibenci.

    “Selepas tahu kisah sebenar, makcik itu senyum kerana tidak sangka orang yang dibenci itulah yang membeli kuihnya.

    “Saya ‘borong’ semua jualannya bukanlah kerana marah, sebaliknya, saya anggap lucu. Saya juga terharu kerana lakonan saya menjadi,” katanya.

    Tidak terasa hati dengan salah tanggapan masyarakat terhadap dirinya, Pablo atau nama sebenar, Amirul Hisyam Mohd Sakri memberitahu, realiti dirinya berbeza berbanding karakter dipaparkan di TV.

    “Apa yang penonton lihat di TV sekadar lakonan. Hakikatnya, saya mudah mesra, suka bertanya khabar dan sentiasa tersenyum,” katanya ditemui pada majlis tayangan filem Budak Flat di Damansara Jaya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

    Menerusi filem arahan Eugene Lim, Pablo memegang watak sebagai pengedar dadah dikenali sebagai Riz.

    Berkongsi pengalaman membawa watak itu, Pablo mengakui naskhah yang sudah ditayangkan di platform penstriman Prime Video, Khamis lalu, menyaksikan julung kalinya dia melakonkan babak romantis.

    “Saya belum pernah digandingkan dengan pelakon wanita. Sebagai Riz, saya perlu melakonkan babak romantis bersama Nabila Huda yang juga isteri saya dalam naskhah itu.

    “Tidak dinafikan agak kekok pada awalnya. Selain dibantu Nabila, saya berguru dengan Fezrul Khan sebagai persediaan membawa babak romantis itu,” katanya. – Agensi

    Pablo berkongsi insiden berdepan seorang peniaga wanita yang enggan menjual kuih kepadanya hanya kerana percaya dia jahat. – OMM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda