UNITED KINGDOM – Menambah garam pada makanan awda meningkatkan kemungkinan mendapat diabetes jenis 2, menurut satu kajian.
Doktor telah bertahun-tahun memberi amaran bahawa pengambilan terlalu banyak garam akhirnya boleh menyebabkan serangan jantung, strok.
Tetapi kajian baharu, dari Universiti Tulane di Amerika Syarikat (AS), adalah yang pertama mengaitkan pengambilan garam berlebihan kepada diabetes jenis 2, lapor DailyMail.
Menurut laporan itu, pakar-pakar menganalisis data daripada lebih 400,000 rakyat Britain yang disoal tentang pengambilan garam dan kekerapan mereka menambah perasa pada makanan dengan garam.
Walau bagaimanapun, mereka tidak menilai garam yang digunakan dalam masakan atau jumlah garam yang dimakan.
Selepas susulan kira-kira 12 tahun, secara purata, lebih 13,000 peserta menghidap diabetes jenis 2.
Pakar-pakar mendapati bahawa berbanding mereka yang tidak pernah atau jarang menggunakan garam, orang yang menambahnya pada setiap hidangan mempunyai risiko 39 peratus lebih tinggi untuk mendapat penyakit itu berbanding mereka yang ‘tidak pernah’ atau ‘jarang’ menggunakannya.
Sementara itu, mereka yang ‘kadang-kadang’ atau ‘biasa’ menambah garam masing-masing mempunyai risiko 13 peratus dan 20 peratus lebih tinggi.
Penulis utama, Profesor Lu Qi berkata, “Kita sudah tahu bahawa mengehadkan garam boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan hipertensi.
“Tetapi kajian ini menunjukkan buat kali pertama bahawa mengeluarkan garam daripada hidangan juga boleh membantu mencegah diabetes jenis 2”.
Penyelidik melaraskan faktor yang boleh memesongkan keputusan, termasuk umur, jantina, ketinggian, berat badan, status merokok, pengambilan alkohol dan tahap aktiviti.
Menulis dalam jurnal Mayo Clinic Proceedings, pasukan itu berkata bahawa penyelidikan lanjut diperlukan untuk memahami mengapa pengambilan garam dikaitkan dengan peningkatan risiko diabetes.
Tetapi Profesor Qi percaya, menambah garam pada makanan boleh menggalakkan orang ramai untuk makan hidangan yang lebih besar – meningkatkan risiko obesiti, salah satu pemacu terbesar diabetes jenis 2.
Beliau berkata, “Seperti yang kami tunjukkan dalam kertas itu, risiko diabetes jenis 2 yang lebih tinggi sebahagiannya disebabkan peningkatan lemak badan yang berkaitan dengan menambah garam kepada makanan.
“Kajian terdahulu juga menunjukkan bahawa pengambilan garam berkaitan dengan tekanan darah yang tidak normal dan keradangan, ini juga boleh menyumbang kepada peningkatan risiko diabetes.”
NHS mengesyorkan orang dewasa mengambil tidak lebih daripada 6 gram – sekitar satu sudu teh – garam sehari.
Dr Faye Riley, pengurus komunikasi penyelidikan di Diabetes UK, yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu berkata, “Sudah diketahui bahawa terlalu banyak garam boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan kita, termasuk meningkatkan tekanan darah, yang merupakan faktor risiko untuk jenis 2.
“Kajian ini menambah bukti yang mencadangkan bahawa pengambilan garam dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes jenis 2, walaupun ia tidak menyatakan sama ada atau mengapa garam bertanggungjawab secara langsung untuk penyakit itu, dan penyelidikan lanjut untuk memahami dengan lebih baik adalah dialu-
alukan”.
Beliau menambah, “Nasihat kami adalah untuk mengehadkan diri awda kepada maksimum satu sudu teh garam sehari.
“Banyak makanan yang telah dibungkus, seperti sosej, kerepek, makanan siap sedia sudah mengandungi garam. Jadi ingat untuk menyemak label makanan dan pilih yang mengandungi kurang garam.
“Daripada menambah garam tambahan pada makanan awda, cuba herba dan rempah ratus yang berbeza untuk menambah perisa.” – Agensi