PARIS, 10 Ogos – Pengurus Marseille Rudi Garcia mengakui Olivier Giroud mampu menjadi penjaring gol sempurna buat kelab Perancis itu tetapi percaya penyerang Arsenal itu mahukan cabaran lebih besar.
“Saya tak rasa dia ingin ke Marseille,” kata Garcia kepada L’Equipe dalam satu temu bual yang disiarkan hari ini.
Giroud memiliki profil sesuai tetapi Garcia mengakui pemain antarabangsa Perancis itu mungkin mempunyai minat berbeza berbanding Marseille.
Giroud, 30, dikaitkan dengan langkah keluar dari Arsenal selepas rekod perpindahan rakan penyerang senegara, Alexandre Lacazette. Musim lalu, dia hanya memulakan 17 perlawanan buat kelab London itu.
“Giroud pemain antarabangsa Perancis. Dia bersama Arsenal dan nampaknya akan bertukar kelab. Ini menunjukkan masih ada halangan buat kami menjadi kelab yang menarik,” kata Garcia.

“Kami ada sikit kekurangan dalam mendapatkan pemain bagus. Kami tidak mahu orang bermimpi dan memikirkan kami mengambil pemain yang bagus.”
Garcia membalas kenyataan Presiden Marseille, Jacques-Henri Eyraud bulan lalu, bahawa kelab itu tidak berupaya bersaing dengan ‘harga gila’ yang dibayar kepada pemain ketika tempoh perpindahan pemain musim panas.
Marseille yang memulakan musim Ligue 1 minggu lalu dengan kemenangan 3-0 mengatasi Dijon, menandatangani empat pemain untuk musim baru – pertahanan, Adil Rami; penjaga gol, Steve Mandanda; pemain tengah, Luiz Gustavo dan penyerang, Valere Germain. – AFP