WUHAN, China, 1 Okt – Caroline Garcia mengatasi Ashleigh Barty dari Australia 6-7 (3/7), 7-6 (7/4), 6-2 untuk memenangi gelaran Terbuka Wuhan pertamanya semalam dalam persaingan sengit di bandar raya China itu.
Berada dalam ranking 20 dunia, Garcia bergelut melalui dua set yang tegang menentang Barty sebelum memenangi set ketiga untuk merebut gelaran terbesar sepanjang kerjayanya dalam persaingan selama dua jam dan 43 minit.
“Ia adalah persaingan yang sukar sepanjang minggu dan terutamanya pada hari ini,” kata pemain dari Perancis itu selepas pertandingan tersebut.
“Gelaran adalah perkara terbaik yang anda miliki dalam tenis, anda perlu bekerja keras sepanjang tahun. Sudah pasti saya gembira.”

Garcia mendahului lebih awal pada set pertama tetapi Barty dua kali bangkit setelah ketinggalan untuk mengheret perlawanan ke ‘tiebreak’ yang menyaksikan dia mendominasi persaingan itu.
Pemain dari Asutralia itu melakukan servis dua kali pada set kedua, sementara pesaingnya juga memiliki dua peluang untuk menguasai sebelum dipaksa untuk berada dalam satu lagi persaingan ‘tiebreak’. Set ketiga adalah mudah bagi Garcia, yang berlutut dalam meraikan kejayaannya selepas Barty membuat pukulan balas yang terkandas di jaring.
“Bagi saya ia adalah persaingan menarik dari permainan pertama, ia sudah mengambil masa yang lama,” kata Garcia.
Barty, yang juga beraksi dalam persaingan peringkat Premier 5 pertamanya, berkata ia “minggu yang sukar, mungkin minggu yang terbaik sepanjang kerjaya tenis saya”.
Barty, yang memulakan tahun ini di luar kedudukan 300 teratas, menewaskan pemenang Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko dalam separuh akhir, mengetepikan pemain pilihan yang terakhir di Wuhan. – AFP