MADRID, 18 April – Real Madrid terpaksa melupakan khidmat Gareth Bale (gambar) dalam usaha memastikan slot ke separuh akhir Liga Juara-Juara melawan Bayern Munich, awal pagi Rabu ini.
Manakala pasukan pelawat mempunyai peluang untuk menterbalikkan defisit 2-1 selepas diberikan rangsangan dengan kepulangan penjaring terbanyak Bayern Munich, Robert Lewandowski, umum bos Bayern, Carlo Ancelotti.
Bale terpaksa diketepikan kerana belum pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya pada aksi pertama suku akhir di Munich, minggu lalu dan berkemungkinan turut terlepas aksi penting Classico bertemu Barcelona hujung minggu ini.
Bintang Wales itu terpaksa berehat selama tiga bulan pada awal musim selepas mengalami kecederaan ligamen pada buku lali kanannya.
“Gareth bekerja keras untuk kembali ke pasukan selepas mengalami kecederaan. Selepas dia kembali, dia terdesak untuk bermain dan kini dia berdepan masalah kecil yang menghalangnya untuk cergas sepenuhnya.
“Saya berharap ia tidak serius dan dalam tempoh beberapa hari dia akan kembali bersama kami. Dia tidak akan cergas untuk pertemuan dengan Bayern kerana kami tidak mahu mengambil sebarang risiko, ” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.
Bekas bintang Tottenham itu terlepas pertemuan Real dengan Gijon dalam aksi La Liga hujung minggu lalu yang berakhir dengan kemenangan 3-2 dan Zidane jelas tidak yakin pemainnya itu akan cergas sepenuhnya bagi aksi bertemu Barca.
“Saya berharap dia bersama kami, namun kami perlu tunggu dan lihat. Ia adalah soalan yang hanya boleh dijawab dari hari ke hari.
“Kami tahu betapa bagusnya Lewandowski, dia adalah pemain nombor sembilan sejati. Ia adalah tambahan buat Bayern, namun dia adalah pemain mereka.
“Mereka mempunyai pemain-pemain yang bagus di setiap posisi dan kami perlu memberi tumpuan terhadap permainan kami, ” kata Zidane.
Gergasi Jerman, Bayern dalam pada itu memperoleh keyakinan tambahan selepas Lewandowski sudah pulih daripada kecederaan bahu.
“Jelasnya dia adalah pemain yang sangat penting kepada kami,” kata kapten Bayern, Philipp Lahm.
“Semua boleh berubah jika dia berada di atas padang.” – AFP