Garis pandu majlis akad nikah dikemas kini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, memaklumkan bahawa pengemaskinian terkini bagi maklumat yang terdapat dalam Garis Panduan Acara Sosial, Mesyuarat dan Latihan Kursus semasa situasi wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan menjelaskan bahawa pengemaskinian itu melibatkan pertukaran beberapa maklumat pada Para (3)(b) Pendaftaran Perkahwinan dan Majlis Akad Nikah.

Dengan ini, garis panduan yang telah dikeluarkan sebelum ini iaitu pada 23 April lalu, tidak lagi digunakan bagi rujukan dan digantikan dengan garis panduan yang bertarikh 28 April. Para 3 (b) dalam garis panduan yang dikemaskinikan itu adalah pendaftaran perkahwinan dan majlis akad nikah di mana majlis akad nikah hanya akan dilangsungkan di mahkamah-mahkamah Syariah Negara Brunei Darussalam; kebenaran untuk berkahwin pada masa ini masih boleh dipertimbangkan dengan syarat majlis akad nikah tersebut mematuhi tatacara khas atau garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah-mahkamah Syariah; bagi pendaftaran dan perkahwinan sivil bagi mereka yang beragama lain boleh dilangsungkan di Unit Pendaftaran Perkahwinan Sivil, Mahkamah Sivil dan hendaklah mematuhi tatacara atau garis panduan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Sivil.

Orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Mahkamah Sivil di www.judiciary.gov.bn untuk keterangan lanjut berkenaan tatacara dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Jika pengantin lelaki atau perempuan tidak sihat, maka dinasihatkan untuk menangguhkan perkahwinan dan pendaftaran perkahwinan bagi mereka yang beragama lain boleh didaftarkan di Bahagian Pendaftaran, Pejabat Peguam Negara dan hendaklah mematuhi tatacara atau garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pejabat Peguam Negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai garis panduan berkenaan, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn/SitePages/guidelinesCOVID-19.aspx atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148.