Garis panduan acara sosial, mesyuarat, latihan kursus

(Dikemas kini pada 23 April 2020)

Garis panduan ini dibuat sebagai susulan kepada situasi terkini pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam. Pada masa ini, Negara Brunei Darussalam berada dalam fasa pengawalan pandemik berikutan terdapatnya kes yang telah dikenal pasti di negara ini.

Langkah-langkah kesihatan awam ini dibuat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan berterusan dalam masyarakat dan salah satu daripada langkah-langkah tersebut adalah dengan mengawal dan mengehadkan perkumpulan ramai secara jarak dekat dalam tempoh yang lama.

(1) Pengertian Perkumpulan Ramai atau Mass Gathering
Seperti yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perkumpulan ramai merujuk kepada acara yang dianjurkan secara terancang mahupun spontan, serta mempunyai jumlah individu yang cukup untuk mengendalikan perancangan dan memberikan tindak balas terhadap sumber tenaga komuniti, kawasan, atau negara yang menganjurkan acara berkenaan (WHO, 2008).

Dalam konteks COVID-19 yang berlaku di Negara Brunei Darussalam, contoh perkumpulan ramai yang pada masa ini tidak dibenarkan termasuk:

Orang ramai diseru supaya elakkan perkumpulan ramai dan amalkan penjarakan sosial. – Gambar oleh Muiz Matdani

Semua acara kebudayaan, rekreasi dan hiburan

Acara peribadi atau sosial, acara keagamaan, acara perkahwinan, acara ulang tahun dan acara keramaian yang melibatkan penggunaan tempat-tempat awam khusus yang tertutup seperti dewan bankuet, restoran dan tempat-tempat acara lain.

(2) Acara atau aktiviti berikut adalah dibenarkan, tertakluk kepada langkah berjaga-jaga dalam perenggan 3:

Aktiviti-aktiviti peribadi dan kekeluargaan serta aktiviti keagamaan seperti tahlil, Doa Selamat dan solat berjemaah di kediaman sendiri sahaja;

Pendaftaran perkahwinan dan majlis akad nikah;
Mesyuarat, persidangan, kursus latihan dan temu duga pekerjaan termasuk peperiksaan bertulis; dan

Aktiviti rekreasi (sukan dan kegiatan fizikal) di kawasan yang terbuka dan yang berpandukan kepada Jabatan Bandaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN); Jabatan
Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP); Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan; dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

(3) Langkah berjaga-jaga yang perlu dipatuhi dalam membantu usaha-usaha kerajaan mengawal penularan COVID-19:

Aktiviti-aktiviti peribadi dan kekeluargaan serta aktiviti keagamaan seperti tahlil, Doa Selamat dan solat berjemaah di kediaman sendiri sahaja;

(i)Mengehadkan jumlah kehadiran ahli keluarga tidak melebihi daripada 30 orang (tertakluk kepada saiz rumah);

(ii) Menggunakan kem dan garaj atau struktur sementara untuk tujuan tersebut di atas adalah tidak dibenarkan;

(iii) Mengamalkan penjarakan fizikal dan sosial misalannya, menjarakkan tempat duduk atau tempat solat sekurang-kurangnya pada jarak 1 hingga 2 meter;

(iv) Memastikan tempat yang digunakan mempunyai pengalihudaraan atau ventilasi yang baik. Adalah juga disarankan untuk menggunakan kipas dan membuka tingkap jika perlu;

(v) Mengurangkan sentuhan atau kontak fizikal, contohnya elakkan bersalaman;

(vi) Mengenal pasti ahli keluarga yang hadir – sediakan langkah-langkah yang membolehkan pengesanan kontak (contact tracing) jika diperlukan, seperti mengambil maklumat ahli keluarga yang hadir;

(vii) Memastikan kebersihan peribadi dan persekitaran sentiasa terjaga seperti dalam penyediaan kemudahan bilik air yang bersih dan mencukupi, tempat membasuh tangan dengan sabun, tuala pakai buang atau tisu, dan tong-tong sampah yang bertutup. Jika boleh, sediakan pensanitasi tangan atau hand sanitizer;

(viii) Mengamalkan tanggungjawab sosial termasuk etika batuk dan bersin setiap masa;

(ix) Mengecualikan atau menasihatkan ahli keluarga yang kurang sihat untuk tidak menghadiri acara berkenaan; dan

(x) Memakai penutup hidung dan mulut jika mereka menghendakinya.

Pendaftaran perkahwinan dan majlis akad nikah;

(i) Majlis akad nikah hanya akan dilangsungkan di mahkamah-mahkamah syariah Negara Brunei Darussalam;

(ii) Kebenaran untuk berkahwin pada masa ini masih boleh dipertimbangkan dengan syarat majlis akad nikah tersebut mematuhi tatacara khas atau garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah-mahkamah syariah;

(iii) Pendaftaran perkahwinan bagi mereka yang beragama lain boleh dilangsungkan di Bahagian Pendaftaran, Pejabat Peguam Negara dan hendaklah mematuhi tatacara atau garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pejabat Peguam Negara; dan

(iv) Jika pengantin lelaki atau perempuan tidak sihat, maka adalah dinasihatkan untuk menangguhkan perkahwinan.

Mesyuarat, persidangan, kursus latihan dan temu duga pekerjaan termasuk peperiksaan bertulis;

(i) Mengehadkan jumlah kehadiran iaitu tidak melebihi daripada 30 orang (tertakluk kepada saiz tempat);

(ii) Menggunakan telesidang untuk sesi latihan, jika kehadiran melebihi daripada 30 orang;

(iii) Memastikan jarak tempat duduk sekurang-kurangnya 1 hingga 2 meter antara satu sama lain dengan meletakkan penanda atau pelekat di lantai atau di tempat duduk;

(iv) Mengendalikan mesyuarat secara ringkas (brief), jika boleh;

(v) Memastikan kebersihan peribadi dan persekitaran sentiasa terjaga seperti dalam penyediaan kemudahan bilik air yang bersih dan mencukupi, tempat membasuh tangan berserta sabun, tuala pakai buang atau tisu, dan tong-tong sampah yang bertutup. Jika boleh, sediakan pensanitasi tangan atau hand sanitizer;

(vi) Mengurangkan sentuhan atau kontak fizikal, contohnya elakkan bersalaman;

(vii) Memastikan tempat yang digunakan mempunyai pengalihudaraan atau ventilasi yang baik. Adalah disarankan untuk menggunakan kipas dan membuka tingkap jika perlu;

(viii) Menyediakan langkah-langkah yang membolehkan pengesanan kontak (contact tracing) jika diperlukan, iaitu dengan mengambil maklumat kehadiran yang lengkap seperti nama, nombor telefon dan sebagainya; dan

(ix) Memakai penutup hidung dan mulut jika mereka menghendakinya.

Aktiviti rekreasi (sukan dan kegiatan fizikal) di kawasan yang terbuka dan yang berpandukan kepada Jabatan Bandaran, KHEDN; Jabatan Perhutanan, KSSUP; JASTRe, Kementerian Pembangunan; dan KKBS

(i) Aktiviti-aktiviti secara persendirian seperti berikut adalah dibenarkan: (1) Joging (2) Berjalan pantas (3) Mendaki bukit (4) Berbasikal (5) Senaman ringan tanpa menggunakan sebarang peralatan, misalannya taici

(ii) Bagi aktiviti-aktiviti di para (d)(i)(1-4), jikalau awda perlu ditemani oleh seseorang, pastikan bersama dengan individu-individu yang diketahui dan mudah dihubungi bagi tujuan pengesanan kontak; manakala bagi aktiviti di para (d)(i)(5), hanya dibenarkan jika tidak melebihi daripada lima orang
yang diketahui dalam satu kumpulan yang senang dihubungi bagi tujuan pengesanan kontak.

(iii) Mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya pada jarak 1 ke 2 meter sepanjang aktiviti dijalankan;

(iv) Tidak melepak atau berkumpul sebelum, semasa dan selepas aktiviti dijalankan;

(v) Beredar sejurus selepas aktiviti berakhir; dan

(vi) Tidak menyertai mana-mana aktiviti rekreasi (sukan dan kegiatan fizikal) jika kurang sihat.

(4) Mereka yang mempunyai keadaan berikut adalah dinasihatkan untuk tidak menghadiri sebarang acara atau aktiviti:

Warga emas yang mengalami masalah kesihatan atau penyakit kronik;
Individu yang menghidap sistem imunisasi badan yang lemah seperti penyakit buah pinggang, penyakit jantung, kanser atau penyakit seumpama yang lain;
Wanita hamil;

Kanak-kanak di bawah umur lima tahun; dan
Mereka yang tidak sihat terutamanya mereka yang mengalami gejala pernafasan.

(5) Langkah berjaga-jaga yang perlu diambil selepas menghadiri acara atau aktiviti:
Dinasihatkan untuk memantau kesihatan diri sendiri.
Dinasihatkan untuk mendapat-kan rawatan jika:

1) mengalami demam panas atau sebarang tanda-tanda jangkitan pernafasan. 2) mengetahui dan pernah berjumpa dengan individu yang telah disahkan dijangkiti
COVID-19.

Dinasihatkan untuk menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenainya.

* Dokumen ini akan diteliti dan dikemas kini tertakluk kepada perkembangan semasa bagi wabak COVID-19 di peringkat nasional dan antarabangsa.