Garis panduan bagi arked, taman permainan kanak-kanak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Dengan pengurangan langkah-langkah pengawalan wabak COVID-19 Negara Brunei Darussalam bagi arked dan taman permainan kanak-kanak dalaman, Tahap Kesediaan Operasi 2 akan bermula 17 Ogos.

Di bawah garis panduan bagi tahap kesediaan operasi 2, arked dan taman permainan kanak-kanak dalaman dibenarkan beroperasi dengan mengehadkan kapasiti kepada 60 peratus daripada kadar kapasiti biasa pada satu-satu masa dan penggunaan arked dihadkan kepada maksimum 2 jam untuk seorang pada satu hari.

Premis hendaklah ditutup selama 30 minit setiap 4 jam untuk kerja-kerja pembersihan dan harus melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi sebelum dan selepas waktu beroperasi.

Arked harus mengutamakan pembersihan dan disinfeksi bagi bahagian yang sering disentuh seperti kayu bedik (joystick), butang permainan dan papan kekunci (keyboard) serta alat yang boleh bergerak seperti bola jaring.

Manakala itu, bagi alat permainan yang tidak boleh dicuci, dibersihkan atau di disinfeksi, ia tidak boleh digunakan.

Bagi taman permainan kanak-kanak dalaman, pihak pengurusan juga harus melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi taman permainan dan alat-alat permainan di mana alat permainan yang berbentuk stuffed toys, permainan yang menyerupai barang makanan, permainan yang boleh dimasukkan ke mulut dan bersentuhan dengan air liur seperti bola plastik kecil dan alat permainan yang tidak boleh dicuci, dibersihkan atau di disinfeksi tidak boleh digunakan.

Garis panduan itu seterusnya menyatakan bahawa syarat-syarat umum bagi pihak pengurusan arked dan taman permainan kanak-kanak dalaman adalah dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis masing-masing dan seterusnya mencetak kod QR itu dan dilekatkan di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pengunjung sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis.