Garis panduan bagi fasiliti sukan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Dengan permulaan Fasa Peralihan pada 19 November ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah memaklumkan mengenai pembukaan semula fasiliti dan premis yang berkaitan dengan bidang tugasnya iaitu fasiliti-fasiliti sukan awam dan swasta, muzium-muzium, galeri pameran, perpustakaan dan pusat-pusat kegiatan warga emas (PKWE) di seluruh negara.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin telah mengongsikan garis panduan pembukaan semula fasiliti-fasiliti dan premis berkenaan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Berdasarkan Garis Panduan Fasa Peralihan, beliau berkata, kesemua fasiliti dan premis tersebut dijadualkan akan beroperasi semula bermula 19 November ini.

“Secara amnya, fasiliti dan premis berkenaan hanya akan dibenarkan untuk beroperasi dengan 50 peratus kapasiti atau maksima 200 orang pengguna dan petugas dalam satu masa, hanya individu yang mendapatkan vaksin penuh serta mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning dibenarkan bertugas dan menggunakan fasiliti.

“Semua pengunjung dimestikan memakai pelitup muka pada setiap masa kecuali ketika melakukan senaman atau kegiatan fizikal dengan mengamalkan penjarakan sosial dan fasiliti hendaklah sentiasa bersih,” jelas Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau turut mengongsikan mengenai premis di bawah kawalan KKBS yang akan beroperasi mengikut waktu kerja dan waktu yang dikhususkan pada Jumaat dan Ahad manakala itu, fasiliti milik swasta dibenarkan untuk beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan.

Bagi fasiliti sukan tertutup (indoor) dan sukan luar (outdoor), menurut beliau, tempoh penggunaan fasiliti tidak dihadkan, penggunaan dibenarkan bagi sukan perseorangan, regu atau campuran dan sukan artistik tanpa kontak.

Manakala itu, sukan berpasukan tidak melebihi 15 orang adalah dibenarkan bagi menjalani latihan sahaja di mana pertukaran atau percampuran pemain adalah dibenarkan.

“Secara amnya, aktiviti yang melibatkan kontak fizikal dan perkongsian peralatan adalah dibenarkan secara minima manakala sukan kontak dibenarkan bagi sesi latihan sahaja tanpa melibatkan latihan sparring, di samping itu, sukan boling tenpin dibenarkan bagi empat orang setiap lorong dengan penggunaan house ball dan house shoe.

“Para pemain turut dikehendaki untuk sentiasa memakai pelitup muka dan secara keseluruhannya, penganjuran acara sukan atau sebarang kejohanan belum dibenarkan,” jelas Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Bagi gim dan pusat kecergasan, beliau berkata, tempoh penggunaannya juga tidak dihadkan dan hanya dibukakan kepada ahli-ahli yang berdaftar melalui tempahan awal.

Bagi kolam-kolam renang pula, tempoh penggunaannya dihadkan kepada dua jam sahaja bagi setiap pengguna dan masa beroperasi adalah dari 8 pagi hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari (kecuali hari Jumaat hingga 11:30 pagi), 2 petang hingga 4 petang (kecuali Jumaat dari pukul 2:30 petang), dan 4 petang hingga 6 petang.

“Padang golf dibukakan kepada ahli-ahli yang berdaftar secara tempahan awal, setiap flight dibenarkan bagi empat orang pemain dan penggunaan sebuah bugi bagi dua orang penumpang selain itu, para pemain turut dikehendaki untuk sentiasa memakai sungkup muka,” jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan mengenai muzium-muzium, galeri pameran dan perpustakaan yang akan beroperasi seperti biasa, setiap hari waktu bekerja yang ditetapkan pada masa ini iaitu 8 pagi hingga 2 petang dengan jumlah pengunjung yang dibenarkan masuk bagi setiap premis akan dipamerkan di pintu masuk premis mengikut
kapasiti ruang.

Mengenai PKWE, selain garis-garis panduan secara am, beliau juga menekankan supaya mereka mengelakkan sentuhan fizikal, membersihkan tangan sebelum dan selepas menjalankan aktiviti; dan penyediaan makan dan minuman hanya dalam bentuk bungkus (tapau) dan jumlah pengunjung yang dibenarkan masuk bagi setiap premis akan dipamerkan di pintu masuk premis.

Beliau turut memaklumkan bahawa pusat penjagaan kanak-kanak dan pusat orang kelainan upaya belum boleh beroperasi pada Fasa Peralihan.

“Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan dan pentadbiran dibenarkan mengikut langkah-langkah pengawalan am yang dinyatakan,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai bolehlah merujuk kepada garis panduan terperinci yang telah disediakan oleh KKBS dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan dengan melayari laman sesawang www.kkbs.gov.bn atau www.jpm.gov.bn.