Garis panduan baharu ibadah haji

DUBAI, 7 JULAI – Arab Saudi telah mengeluarkan garis panduan untuk 1,000 jemaah yang dibenarkan menunaikan ibadah haji di Mekah pada hujung bulan ini, satu pengalaman yang berlainan daripada sebelumnya disebabkan pandemik koronavirus.

Jemaah hanya boleh meminum air suci dari telaga Zamzan di Mekah yang disediakan dalam botol plastik, dan batu untuk melontar zamrah yang biasanya dikutip oleh jemaah di sepanjang jalan akan dibasmi kuman dan diletak dalam beg lebih awal. Jemaah juga perlu membawa sejadah sembahyang mereka sendiri.

Garis panduan diumumkan semalam tatkala pihak berkuasa Saudi bersedia untuk menganjurkan ibadah haji amat terhad, yang untuk kali pertamanya tidak termasuk jemaah dari luar negara. Sebaliknya, negara itu berkata 70 peratus daripada jemaah yang dibenarkan mengambil bahagian pada tahun ini akan terdiri daripada warga asing Arab Saudi sementara 30 peratus adalah rakyat Saudi.

Garis panduan baharu juga menetapkan warga asing di Arab Saudi yang mengambil bahagian dalam ibadah haji tahun ini harus berumur di antara 20 dan 50 tahun, dan belum mengerjakan ibadah haji sebelum ini. Jemaah perlu mengasingkan diri sebelum dan selepas haji, dan mereka akan diuji untuk koronavirus. Mereka yang layak diberi tempoh sehingga Jumaat untuk menghantar permohonan menerusi laman sesawang Kementerian Haji negara itu. – AP

Gambar fail bertarikh 7 Mac 2020 menunjukkan pekerja menjalankan kerja-kerja membasmi kuman di kawasan sekitar Kaabah disebabkan kebimbangan koronavirus baharu di bandar Mekah, Arab Saudi. – AP