Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Penyakit kardiovaskular merupakan salah satu penyebab kematian utama di Negara Brunei Darussalam.
Pada masa yang sama, faktor-faktor risiko bagi penyakit kardiovaskular termasuk hipertensi, diabetes dan hiperlipidemia, kesemuanya amat berleluasa dalam kalangan penduduk negara ini.
Oleh itu, adalah wajar bagi usaha keras dilaksanakan untuk mengenal pasti dan merawat faktor-faktor risiko berkenaan, mengurangkan kesengsaraan serta kematian yang dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular.
Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Persatuan Jantung Brunei Darussalam, Dr Sofian bin Dato Paduka Dr Haji Johar semasa pelancaran Garis Panduan Hiperlipidemia Kebangsaan Brunei Darussalam, Persatuan Jantung Brunei Darussalam, yang berlangsung di Hotel Radisson, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan pelancarannya ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.
Dr Sofian berkata bahawa salah satu halangan kepada usaha berkenaan adalah kurangnya penyelarasan rawatan dan diagnosis di mana dahulu, mereka tidak mempunyai garis panduan terkini menggunakan data dan bukti kontemporari.
Di samping itu, kepelbagaian garis panduan serantau dan antarabangsa, tegasnya, turut menyukarkan untuk menyejajarkan amalan dengan penyedia penjagaan kesihatan sering kali menggunakan garis panduan yang mereka biasa dengan berdasarkan kepada pendapat serta di mana mereka berlatih.
Pada masa yang sama, terdapat kewujudan pelbagai model anggaran risiko, yang digunakan berdasarkan kepada keutamaan dan ambang risiko yang berbeza untuk memutuskan rawatan digunakan, tambahnya.
Oleh itu, beliau berharap garis panduan yang diterbitkan berkenaan, akan membantu menyejajarkan penjagaan individu dengan hiperlipidemia serta membolehkan individu dan penyedia penjagaan kesihatan untuk memperbaiki amalan mereka supaya memperoleh hasil yang lebih baik dan pada masa hadapan, mengurangkan beban penyakit kardiovaskular.
Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menyempurnakan pelancaran garis panduan berkenaan serta menyampaikan garis panduan berkenaan kepada wakil-wakil hospital dan institusi-institusi penjagaan kesihatan.
Garis panduan itu dilancarkan bersama oleh Persatuan Jantung Brunei Darussalam dan Kementerian Kesihatan.
Salah satu faktor utama bagi penyakit kardiovaskular ialah hiperlipidemia atau kadar lipid atau kolesterol yang tinggi.
Garis panduan itu bermatlamat untuk menyediakan doktor, jururawat dan pengamal kesihatan bersekutu dengan peralatan bagi membuat diagnosis apabila pesakit-pesakit mempunyai tahap kolesterol tinggi, siapa yang perlu disaring dan rawatan yang dicadangkan untuk mengawal tahap kolesterol. Ini adalah bagi mengurangkan risiko serangan jantung dan strok. Garis panduan itu menggunakan peralatan anggaran risiko yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan berdasarkan garis panduan rawatan serta diagnosis dari organisasi antarabangsa utama termasuk European Society of Cardiology dan American Heart Association.
Pada masa yang sama, garis panduan itu juga memberikan cadangan bagi pemakanan dan senaman selaras dengan garis panduan-garis panduan yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan terdahulu.