Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Bermula 1 April, perkumpulan ramai yang dibenarkan di premis awam dengan kapasiti penuh termasuk dewan dan restoran atau had maksimum 300 orang, yakni mana yang lebih rendah, adalah tertakluk kepada penjarakan fizikal dengan sekurang-kurangnya satu meter seperti di antara meja di restoran-restoran atau satu meter di antara kerusi bagi majlis-majlis keramaian lain.
Pengemaskinian garis panduan bagi perkumpulan ramai itu adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang mengambil tempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Sementara itu, had perkumpulan ramai di kediaman persendirian adalah masih lagi dikekalkan iaitu seramai 30 orang tidak termasuk tuan rumah,” jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lagi.
Jawatankuasa Pandu COVID-19 juga memaklumkan kepada orang ramai khususnya pengusaha restoran dan kedai makan bahawa penyediaan makanan secara bufet di restoran-restoran atau di rumah-rumah persendirian adalah masih tidak dibenarkan.
Syarat-syarat bagi pengemaskinian garis panduan ini adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu COVID-19 dari semasa ke semasa. Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di alamat www.jpm.gov.bn.
