Garmin umum jam tangan pintar LTE

GARMIN telah mengumumkan jam tangan pintar berkeupayaan LTE pertamanya, Garmin Vivoactive 3 Music, pada Kongres Mudah Alih Sedunia (CES) 2019 yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), minggu ini.

Syarikat berkenaan, pemain utama dalam bidang peranti-peranti navigasi dan jam tangan sukan GPS, telah bekerjasama dengan operator telekom AS, Verizon Wireless bagi pelancaran berkenaan.

Jam tangan pintar ini membolehkan pengguna mendengar muzik menggunakan fon kepala Bluetooth dan pada varian LTE, pengguna juga boleh membuat dan menerima panggilan, menghantar dan menerima pesanan ringkas serta mengesan senaman yang dilakukan.

Garmin Vivoactive 3 Music mempunyai tiga varian iaitu LTE (dengan muzik), Music (tanpa LTE) dan varian standard (tanpa LTE atau muzik).

Garmin Vivoactive 3 Music LTE membolehkan pengguna menyimpan sehingga 500 lagu, menurut Garmin, tetapi syarikat itu tidak mendedahkan jumlah storan.

Jam tangan pintar ini menyokong pengesanan pelbagai senaman yang termasuk berlari, berenang, latihan tenaga dan banyak lagi.

Pengguna juga boleh mengira paras maksimum VO2 menerusi jam berkenaan dan Garmin menyatakan, peranti ini mempunyai jangka hayat bateri sehingga tujuh hari dalam mod jam tangan pintar, 13 jam pada mod GPS dan lima jam pada GPS dengan
muzik.

Ia boleh dipadankan dengan peranti-peranti Android dan iOS menerusi aplikasi pendamping. Bagi ciri LTE, Vivoactive 3 Music LTE menyokong LiveTrack, bermakna pengguna boleh mengongsikan lokasi dengan rakan-rakan dan keluarga pada masa tertentu seupaya mereka mengetahui bahawa pengguna selamat.