Garuda tampil konsert udara

JAKARTA, 10 Jan – Syarikat penerbangan Indonesia, Garuda, kini membawa muzik ke langit dengan siri konsert langsung pada penerbangan domestiknya, menurut syarikat itu.

Para penumpang akan dihiburkan pada ketinggian 35,000 kaki dalam satu skim untuk memikat pelanggan ‘yang mahu mendapat pengalaman penerbangan yang berbeza’, menurut jurucakap syarikat penerbangan itu, M. Ikhsan Rosan kepada AFP.

Syarikat itu telah mengadakan konsert pertamanya pada satu penerbangan kelmarin, dengan dua ahli muzik membuat persembahan di antara Jakarta dan pulau percutian, Bali.

Garuda berkata persembahan itu dijangka berlangsung selama 10 hingga 15 minit pada penerbangan tertentu dan akan terdapatnya fokus dalam mempromosikan bakat-bakat baru.

Sementara ia mungkin menjadi pengalaman hebat yang tidak dapat dilupakan bagi sebahagian penumpang, ia juga bukan idea yang baik bagi semua orang.

Sebahagian penumpang berkata mereka lebih suka interaksi minimum dengan manusia ketika dalam penerbangan dan berkata muzik akan mengganggu mereka daripada mendapat tidur atau membaca. Garuda berkata ia telah melakukan konsultasi tambahan bagi memastikan konsert yang diadakan tidak menjejaskan keselamatan dan menimbulkan ancaman. – AFP