Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gas gunung berapi cetus amaran kesihatan

    MANILA, 22 SEPT – Ribuan orang diberi amaran untuk berada di dalam rumah dan banyak sekolah ditutup hari ini ketika jerebu tebal menyelubungi ibu negara Filipina dan wilayah-wilayah sekitarnya.

    Peningkatan pelepasan sulfur dioksida dari gunung berapi dan fenomena cuaca yang memerangkap asap dipersalahkan bagi udara berbahaya yang menyelubungi wilayah padat penduduk itu.

    Penduduk berhampiran gunung berapi Taal, yang terletak di tasik kira-kira 50 kilometer (km) di selatan Manila, digesa untuk tinggal di dalam rumah dan menutup pintu serta tingkap bagi melindungi diri mereka daripada gas toksik.

    Taal telah memuntahkan sulfur dioksida selama berminggu-minggu. Sekurang-kurangnya 58 pelajar di wilayah Batangas jatuh sakit kelmarin selepas lonjakan pelepasan, kata seorang pegawai.

    “Mereka mengadu sakit dada dan kesukaran bernafas,” kata pegawai agensi bencana tempatan, Jacque De Taza kepada AFP.

    Hospital-hospital di wilayah itu dalam keadaan berjaga-jaga untuk bertindak balas terhadap situasi kecemasan yang disebabkan oleh pelepasan gas gunung berapi.

    Vog, atau asap gunung berapi, ‘tidak boleh dipandang ringan kerana sulfur dioksida menimbulkan ancaman serius kepada kesihatan manusia,’ kata pengarah kesihatan wilayah, Ariel Valencia dalam satu kenyataan.

    Jerebu kelabu turut menyelubungi ibu kota yang luas dan wilayah-wilayah berdekatan, menyebabkan beberapa kerajaan setempat membatalkan kelas-kelas. – AFP

    Wap kecil dilihat dari Gunung Berapi Taal, wilayah Batangas, Filipina pada 2 Julai 2021. Asbut mengandungi gas dari gunung berapi bergolak itu telah menyebabkan puluhan orang pelajar jatuh sakit dan bandar-bandar menutup sekolah-sekolah, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda