Letupan gas jejas bangunan sekolah

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Sebahagian bangunan dan kantin sekolah di kawasan Kampung Sungai Akar telah mengalami kerosakan akibat letupan yang dipercayai berpunca daripada letupan empat tong gas LPG.

Balai Bomba Berakas yang telah menerima panggilan kecemasan berhubung dengan letupan gas sekitar jam 1:48 pagi telah berkejar ke tempat kejadian bersama enam anggota bomba yang diketuai oleh DSO Tonny.

Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba yang dilengkapi dengan set alat pernafasan dan membawa sebuah alat pemadam api jenis debu kering seberat 2.5kg bertindak membuka kepala gas di mana punca letupan dan jumlah kerugian masih dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan orang ramai supaya memastikan semua peralatan dalam keadaan tertutup sebelum meninggalkan tempat bertugas di samping memastikan hos gas LPG dan kepala ‘regulator gas’ dalam keadaan baik dan diiktiraf oleh BSM. JBP dalam kenyataannya juga menasihatkan agar memastikan alat kebombaan dalam keadaan baik, berfungsi serta boleh digunakan bila diperlukan semasa kecemasan dan tidak membuka suis peralatan elektrik jika terhidu bau gas.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan hubungi talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Keadaan sekitar kantin di salah sebuah sekolah di kawasan Kampung Sungai Akar yang mengalami kerosakan akibat letupan gas LPG.
Letupan gas LPG yang merosakkan bangunan dan kantin sekolah di kawasan Kampung Sungai Akar.