Saturday, January 18, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gas rumah hijau pecah rekod 2022

    GENEVA, 15 NOV – Kepekatan gas rumah hijau di atmosfera mencecah paras tertinggi baharu pada 2022, tanpa penamat kepada trend yang semakin meningkat, Pertubuhan
    Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberikan amaran hari ini.

    Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) PBB berkata paras tiga gas rumah hijau utama karbon dioksida yang memanaskan iklim, metana dan nitrus oksida semuanya memecahkan rekod tahun lepas.

    Tahap gas perangkap haba sebegitu akan bermakna peningkatan suhu selanjutnya, cuaca yang lebih ekstrem dan paras laut yang lebih tinggi, kata WMO dalam Buletin Gas Rumah Hijau tahunannya yang ke-19.

    “Walaupun amaran berdekad-dekad daripada komuniti saintifik, beribu-ribu halaman laporan dan berpuluh-puluh persidangan iklim, kami masih menuju ke arah yang salah,” kata Ketua WMO, Petteri Taalas.

    Amaran itu keluar menjelang sidang kemuncak iklim PBB, COP28 pada 30 November hingga 12 Disember di Dubai.

    “Tahap kepekatan gas rumah hijau sekarang meletakkan kami pada laluan peningkatan suhu jauh melebihi sasaran Perjanjian Paris menjelang akhir abad ini,” kata Taalas.

    “Ini akan disertai dengan cuaca yang lebih ekstrem, termasuk suhu panas dan hujan lebat, pencairan ais, kenaikan paras laut dan haba lautan serta pengasidan.

    “Kos sosioekonomi dan alam sekitar akan meningkat.

    “Kita mesti mengurangkan penggunaan bahan api fosil dalam usaha terdesak,” katanya. – AFP

    Pemandangan termometer jalan menandakan suhu 40 darjah Celsius di bandar Sao Paulo, Brazil pada 13 November 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda