Gatlin belum mahu bersara selepas tewas

NAIROBI, 19 SEPT – Juara Olimpik 2004, Justin Gatlin (gambar) masih menangguhkan persaraannya di sebalik hanya menamatkan saingan acara pecut 100 meter (m) di kedudukan ketiga semalam di saingan jelajah benua Olahraga Dunia di Nairobi.

Pelari pecut Amerika Syarikat (AS) berusia 39 tahun itu yang dua kali digantung ke-rana kesalahan doping, gagal layak beraksi di Olimpik Tokyo dan berharap dapat melakukan kebangkitan di Kenya.

Bagaimanapun dia tidak dapat menandingi rakan senegara, Trayvon Bromell dan pelari pecut sensasi baharu Kenya, Ferdinand Omanyala.

“Saya hadir ke sini selepas pulih daripada kecederaan dan berharap dapat menang di sini,” kata Gatlin dan menambah beliau akan berehat seketika sebelum memikirkan untuk bersara.

“Sama-sama kita nantikan apakah yang akan berlaku pada musim baharu nanti,” tambahnya ketika ditanya jika dia bercadang untuk bersara.

Bromell yang sudah pun mencatat masa terpantas 100m pada tahun ini, memperbaiki catatannya dengan 9.76s manakala Omanyala 9.77s, catatan sama dilakukan Bromell pada April lalu.

Bagi kebanyakan atlet yang bersaing, Nairobi adalah kemuncak saingan kepada musim yang panjang termasuk Olimpik dan Diamond League selepas beberapa kejohanan lain dibatalkan pada tahun lalu berikutan pandemik COVID-19.

Pelari sensasi pecut Namibia, Christine Mboma mengatasi empat permulaan percubaan untuk memenangi perlumbaan ketujuh

acara 200m sejak Tokyo di mana dia terpaksa beralih ke jarak yang lebih pendek setelah diperintah tidak layak untuk bertanding bagi acara 400m. – AFP