Gaun couture serlahkan keanggunan wanita

Oleh Zanyra Dawoud

Gambar dari Vogue

 

MENERIMA undangan ke majlis makan malam dan ingin merebut gelaran pemenang pakaian terbaik setentunya telah membuatkan ramai wanita ingin mencari rekaan busana menarik untuk digayakan pada acara tersebut.

Pereka jenama Givenchy, Clare Waight Keller dan pereka jenama Christian Dior, Maria Grazia Chiuri telah menghasilkan beberapa pasang busana menarik bertemakan couture.

Rekaan gaun setentunya menjadi tumpuan utama kepada dua orang pereka terkemuka itu.

Givenchy lebih banyak menampilkan rekaan gaun klasik seperti menyingkap semula kegemilangan ratu Cleopatra seperti menggabungkan dua fabrik pada warna yang berbeza, fabrik metalik, sequin dan juga penggunaan feather.

Manakala Christian Dior pula menzahirkan gaya gaun menarik yang lebih moden dan ringkas. Kebanyakan warna yang ditampilkan dalam koleksi ini adalah seperti coklat, putih, beige dan lain-lain.

Menariknya, kedua-dua pereka ini turut menampilkan jahitan tangan yang eksklusif dan dilakukan dengan penuh teliti. Secara dasarnya, kebanyakan rekaan yang ditampilkan dalam koleksi daripada dua jenama ini akan menjadikan penampilan wanita kelihatan sangat anggun dan jelita seperti seorang puteri kayangan.