Gavin Green layak ke Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Pemain golf profesional negara Gavin Kyle Green (gambar) secara rasminya layak untuk bertanding mewakili negara di Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan. 

Persatuan Golf Malaysia (MGA) dalam satu kenyataan hari ini berkata Gavin yang kini berada di Jerman melakukan persiapan untuk Terbuka Antarabangsa BMW hujung minggu ini berjaya melayakkan diri

setelah menduduki ranking ke-56 daripada 60 pemain golf dalam Ranking Olimpik di akhir tempoh kelayakan semalam.  

Sukan Olimpik Tokyo merupakan penampilan keduanya di acara sukan terbesar dunia selepas edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Mewakili negara sememangnya satu penghormatan buat saya dan melakukannya di peringkat Olimpik untuk kali kedua adalah lebih istimewa. Saya memang menantikan saat ini,” kata pemain berusia 27 tahun itu dalam kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, Gavin mengumpul mata dengan konsisten daripada Jelajah Eropah sebaik sahaja pertandingan jelajah itu bermula selepas sekatan perjalanan di seluruh dunia berikutan pandemik COVID-19 awal tahun ini dan pencapaian terbaiknya ialah tempat ketiga di Antarabangsa Saudi, Februari lepas.

Pada masa sama, MGA berkata adalah ‘selamat’ untuk mengatakan seorang lagi pemain golf negara, Kelly Tan, 27, akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo buat kali kedua berturut-turut dan pada masa ini beliau berada dalam keadaan selesa di kedudukan ke-41 Ranking Olimpik di hadapan tarikh akhir penentuan pada 28 Jun ini. – Bernama