Gawai disambut tanpa ngabang

KUCHING, 31 MEI – Tanggal 1 Jun merupakan tarikh keramat buat majoriti masyarakat di Bumi Kenyalang iaitu sambutan Hari Gawai Dayak yang disambut oleh kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain sebagai tanda tamatnya musim menuai padi.

Tahun ini, sambutan Gawai tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya kerana negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Setiap tahun, menjadi kewajipan bagi penduduk kampung atau rumah panjang berkumpul bersama sanak saudara yang datang dari jauh mahupun dekat meraikan sambutan Gawai, namun tahun ini hanya ahli keluarga dalam jumlah yang kecil sahaja dibenarkan berkumpul meraikannya tanpa tradisi ‘Ngabang’ atau ziarah-menziarahi.

Bagi seorang suri rumah, Minah Serit, 56, persiapan sambutan Gawai hanya ala kadar sahaja dengan menyediakan makanan untuk beliau sekeluarga tanpa berkumpul dengan adik-beradik yang lain seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Untuk sambutan di ambang malam Gawai, kami sekeluarga hanya masak beberapa jenis menu wajib seperti pansuh, selain itu kami turut barbeku bersempena dengan sambutan hari jadi anak bongsu saya yang ke-15,” katanya yang berasal dari Sri Aman.

Sementara itu, Ajoy Delo, 34, berkata bagi mereka sekeluarga tiada persiapan dan hanya berkumpul dengan adik-beradik yang terdekat sahaja untuk makan malam bersama tanpa kepulangan abangnya yang bekerja di Dubai.

“Kita akur dengan keadaan semasa, sungguhpun tidak lengkap tanpa ada abang yang berjauhan, kami tetap berhubung melalui panggilan video sebagai penghubung dan ia membuatkan kami sentiasa dekat di hati antara satu sama lain,” katanya yang merupakan seorang pembantu makmal. – Bernama

Aplikasi panggilan video melalui komputer riba untuk berhubung dengan rakan yang menyambut perayaan Hari Gawai di Kampung Tematu, Kuching. – Bernama