Gawai ‘Ngiling Bidai’ meriah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 12 JULAI – Ahli-ahli Jawatankuasa dan Biro Wanita Rumah Panjang Teraja, baru-baru ini, telah menganjurkan majlis kesyukuran sebagai sebahagian daripada Sambutan Gawai ‘Ngiling Bidai’ yang meraikan hasil tuaian dan masa untuk merancang musim pertanian baharu atau usaha lain pada masa hadapan.

Diadakan di rumah panjang itu sendiri, majlis berkenaan dihadiri oleh 200 orang antaranya ialah Presiden Kelab Lions Bandar Seri Begawan (Lions Club BSB), Sunil Ramchandani yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Mengalu-alukan tetamu kehormat dan jemputan lain ialah Pengerusi Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja, Burong anak Nyanggau dan Ketua Biro Wanita rumah panjang tersebut, Embong Munah dengan iringan persembahan gulintangan tradisional yang dipimpin oleh penghuni rumah panjang berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Station P/Insp Janatun Na’em bin Haji Abdul Rahim serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di Mukim Labi serta kampung-kampung di bawahnya.

Majlis berkenaan diserikan dengan persembahan Ngajat oleh Biro Pelapis rumah panjang berkenaan serta persembahan nyanyian Gawai yang dipimpin oleh ahli-ahli jawatankuasa dan biro wanita rumah panjang.

Selain itu, majlis turut menyaksikan ketua Kelab Lions menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak serta warga emas yang menetap di sekitar Kampung Teraja.

Sebelum ini, kelab berkenaan juga telah mengadakan lawatan kerja ke rumah panjang tersebut untuk memberikan bantuan antaranya pemasangan tabir bagi kawasan komunal rumah panjang berkenaan pada Februari lalu.

Sebagai penghargaan kepada tetamu kehormat, pengerusi majlis dan perwakilan dari biro wanita telah menyampaikan cenderamata, manakala itu, tetamu kehormat membalasnya dengan cenderamatanya sendiri untuk rumah panjang berkenaan yang diterima oleh bekas ketua Rumah Panjang Teraja, Jamit anak Lasah.

Sambutan diakhiri dengan tetamu kehormat bersama beberapa penasihat dan bekas ketua rumah panjang berkenaan melipat tikar pada upacara yang diraikan pada penghujung Jun bagi menutup sambutan Gawai.

Salah satu acara yang dipersembahkan ketika perayaan tersebut. – Gambar oleh Kem Sin68