Gawai nyaruok tanda pesta perdamaian

Oleh Robert Kenneth anak Henry

 

KUCHING – Pastinya ramai yang tahu mengenai perayaan Gawai Dayak, tetapi tahukah bahawa selain itu terdapat beberapa perayaan Gawai, antaranya adalah Gawai Nyaruok?

Jika Gawai Dayak diraikan sempena tamatnya musim menuai padi, Gawai Nyaruok pula adalah pesta perdamaian, yang menandakan berakhirnya aktiviti memburu kepala musuh.

Tersurat dalam sejarah bahawa kaum Dayak termasuk Bidayuh merupakan pemburu kepala yang ganas pada suatu ketika dahulu.

Segalanya telah berlalu, aktiviti memburu kepala musuh sudah sekian lama ditinggalkan iaitu sejak awal abad ke-19. Kaum Bidayuh kini adalah antara masyarakat yang paling mesra dan hidup aman damai bersama kaum lain di negeri Sarawak.

Dengan berakhirnya aktiviti itu, kini sebahagian kecil kampung kaum Bidayuh terus meraikan Gawai Nyaruok iaitu upacara perdamaian.

Baru-baru ini telah diadakan Gawai Nyaruok di Kampung Semban di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) di Penrissen, Jalan Puncak Borneo kira-kira 40 kilometer dari Pusat Bandaraya Kuching. – Bernama

Baru-baru ini Gawai Nyaruok disambut di Kampung Semban di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS), Penrissen, Jalan Puncak Borneo, kira-kira 40 kilometer dari pusat Bandaraya Kuching.

Lawatan perdamaian

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Biya Kuching (PBK), iaitu gabungan lebih 10 kampung suku kaum Bidayuh Biya yang menetap di Ulu Padawan, dekat sempadan Sarawak-Kalimantan.

Bidayuh Biya adalah salah satu daripada puluhan pecahan suku kaum Bidayuh di Bumi Kenyalang ini.

Upacara Gawai Nyaruok itu disempurnakan oleh sekumpulan 51 penduduk dari Kampung Gumbang dan Padang Pan, Bau dan diketuai oleh ketua gawai, Anyan anak Jikan, 78, dari Kampung Gumbang. Kampung Gumbang dan Kampung Padang Pan terletak berdekatan sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia.

Ketua Kampung Gumbang, Atok anak Derop berkata rombongannya hadir sebagai memenuhi jemputan pihak penganjur untuk membantu menyempurnakan upacara Gawai Nyaruok bagi menggantikan ketua gawai Kampung Semban yang uzur dan pada masa sama tiada generasi pelapis yang berpengetahuan untuk melakukan upacara berkenaan.

Menurut Atok, sejarah persahabatan antara penduduk Kampung Gumbang (Bigumbang) dan penduduk kampung Semban (Biban) bermula sejak abad ke-18 apabila sekumpulan Bigumbang mengunjungi Kampung Semban untuk lawatan perdamaian.

“Semasa lawatan Bigumbang ke Kampung Semban, rombongan Bigumbang dihadiahkan sebuah gong sebagai tanda persahabatan.

“Biban sepatutnya turun untuk membalas lawatan Bigumbang selepas itu tetapi sehingga ke hari ini lawatan balas itu tidak pernah berlaku.

Oleh itu, tambah beliau, Biban masih berhutang lawatan kepada Bigumbang untuk lawatan rombongan pada abad ke-18 iaitu lebih 100 tahun lalu.

Suku kaum Dayak termasuk suku kaum Bidayuh merupakan pemburu kepala yang ganas pada suatu ketika dahulu tetapi kini kaum itu merupakan kaum yang sangat mesra dan hidup aman damai bersama kaum-kaum lain di negeri Sarawak. – Bernama
Upacara Gawai Nyaruok itu disempurnakan oleh sekumpulan 51 penduduk dari Kampung Gumbang dan Padang Pan, Bau dan diketuai oleh ketua gawai, Anyan anak Jikan, 78, dari Kampung Gumbang. Kampung Gumbang dan Kampung Padang Pan terletak berdekatan sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia. – Bernama
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Biya Kuching (PBK) iaitu gabungan lebih 10 kampung suku kaum Bidayuh Biya yang menetap di Ulu Padawan sebagai tanda perdamaian. – Bernama

Mandikan tengkorak

Bagaimanapun, menurut Atok, Biban akan melakukan lawatan balas ke Kampung Gumbang pada 2020.

Sebuah rumah tempat bagi melakukan upacara telah dibina di Kampung Semban kira-kira lima tahun lalu, yang mana di dalamnya turut disimpan dua tengkorak manusia, iaitu musuh suku Bidayuh Biya pada zaman dahulu kala.

Gawai Nyaruok diadakan antara lain bertujuan bagi memberi makan kepada roh tengkorak dan memandikan tengkorak berkenaan.

Masyarakat Bidayuh zaman dahulu percaya bahawa tengkorak adalah lambang keberanian seseorang lelaki yang berjaya menawan musuhnya.

Semasa upacara itu berlangsung, orang ramai yang hadir tidak dibenarkan untuk berada di kawasan itu, tidak dibenarkan turut serta dan perlu menjaga tutur kata.

Jamuan beramai-ramai dan persembahan kebudayaan turut diadakan bagi meraikan para tetamu untuk memeriahkan Gawai Nyaruok.

Pantang larang

“Kesemua upacara hanya boleh dilakukan oleh ketua-ketua Gawai kerana banyak syarat dan pantang larang yang perlu dipatuhi,” kata ketua gawai, Anyam anak Jikan.

Antara pantang larang adalah mereka yang menyertai upacara Gawai Nyaruok tidak boleh pergi ke kebun atau ke dalam hutan untuk tempoh seminggu.

Salah seorang penduduk Kampung Gumbang yang turut serta dalam upacara Gawai Nyaruok di Kampung Semban itu adalah Apat anak Jago, 63, seorang dukun.

“Tidak boleh sebarang orang turun untuk upacara Gawai Nyaruok kerana setiap yang menyertainya mestilah sudah memenuhi syarat-syarat dan pantang larangnya,” tambah beliau.

Apat yang berpengalaman menyertai upacara tersebut sejak lebih 10 tahun lalu pernah mengunjungi beberapa buah kampung di Indonesia untuk menyertai upacara Gawai serupa di sana yang disebut ‘Gawai Nyobeng’. – Bernama