Gaya hidup sihat, azam Tahun Baru

KEDATANGAN tahun baru sering diselitkan dengan azam yang merupakan hasrat atau misi yang harus dicapai dan dilaksanakan. Antara azam yang sering ditanamkan dalam diri seseorang bersempena dengan kedatangan tahun baru adalah hasrat untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan sekaligus memiliki bentuk tubuh yang diidamkan.

Justeru, beberapa penyelidik tabiat makanan cuba untuk memberikan tips atau langkah yang boleh anda ikuti bagi mencapai berat badan yang anda inginkan.

Langkah awal kepada kejayaan terhadap misi mengurangkan berat badan harus dimulakan dengan melakukan beberapa perubahan tabiat yang biasa dilakukan di dapur, di kedai runcit dan di dalam restoran di mana ia memerlukan kebijaksanaan seseorang itu dalam memilih menu hidangan yang sihat.

“Walaupun ramai individu yang beranggapan bahawa pemilihan makanan adalah bergantung kepada kehendak seseorang individu itu sendiri namun apa yang tidak disedari adalah pengaruh persekitaran seperti saiz pinggan, penataan cahaya dan lain-lain juga turut mempengaruhi gaya dan tabiat pemakanan seseorang itu,” jelas salah seorang penyelidik, Brian Wansink.

Beliau adalah ketua kepada persatuan Cornell University Food dan Brand Lab yang juga turut pernah terlibat dalam penulisan buku yang membincangkan mengenai kawalan pilihan pengambilan makanan yang turut mendapat pembiayaan daripada kerajaan dan beberapa buah industri.

Brian Wansink, pakar pemakanan menjelaskan bahawa amalkan untuk pembahagian makanan di dalam troli sewaktu melakukan aktiviti membeli-belah dan utamakan pemilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan.
Brian Wansink, pakar pemakanan menjelaskan bahawa amalkan untuk pembahagian makanan di dalam troli sewaktu melakukan aktiviti membeli-belah dan utamakan pemilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan.
Letakkan makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran di bahagian yang mudah untuk dilihat di dalam peti sejuk.
Letakkan makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran di bahagian yang mudah untuk dilihat di dalam peti sejuk.

Menurut Dr. William Yancy, seorang pakar berat badan dan diet kecergasan di Universiti Duke menjelaskan bahawa terdapat banyak cara yang harus dilakukan sehingga ada kalanya ia kelihatan pelik dalam penjagaan berat badan.

Sebagai langkah permulaan, tanamkan sikap SMART yang terdiri daripada Specific iaitu pengkhususan, Measurable iaitu dapat diukur atau dijangka, Attainable iaitu dapat dicapai, Relevan dan Time-bound iaitu sentiasa patuh pada masa yang telah ditetapkan.

Justeru, bagi seseorang yang hendak mengamalkan gaya hidup sihat itu harus makan secara teratur seperti makan makanan yang kurang berkhasiat hanya sekali atau dua kali dalam masa seminggu dan kerap melakukan senaman aktif walaupun hanya berjalan kaki dalam tempoh 30 minit setiap hari.

Selain itu, Wansink juga turut mengongsikan beberapa tips berhubung cara pengambilan, penyediaan dan pengurusan makanan yang sihat serta betul ketika berada di dapur, pasaraya dan restoran bagi mendapatkan berat badan ideal.

Utamakan makanan berkhasiat

Kemas semula dapur anda dengan memastikan segala makanan berkhasiat di bahagian depan dan mudah dilihat. Perkara ini adalah penting kerana seseorang individu cenderung untuk memakan makanan pertama yang dilihatnya berada di hadapan mata.

Bijak mengatur setiap barang makanan yang disimpan di dalam peti sejuk. Letakkan stok makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran pada bahagian yang mudah untuk dilihat dan tidak tertutup. Sementara makanan yang kurang berkhasiat seperti piza pula lebih baik untuk disimpan di tempat yang terlindung seperti dibungkus dengan penutup aluminium.

Satu kajian yang dilakukan telah mendapati bahawa individu yang meletakkan buah-buahan dan sayur-sayuran di bahagian yang dapat dilihat dengan mudah di dalam peti sejuk akan lebih mengamalkan gaya pemakanan yang sihat di mana mereka cenderung untuk mengambilnya sebanyak tiga kali sehari di mana ia jelas cukup baik untuk amalan kesihatan.

Di samping itu, elakkan juga daripada meletakkan sebarang makanan selain satu mangkuk yang dipenuhi dengan buah-buahan di atas meja di dapur.

Para penyelidik yang melakukan kajian terhadap 210 buah dapur rumah mendapati bahawa individu yang meletakkan bijirin sarapan di atas meja menyatakan mereka sering mengalami peningkatan berat badan sehingga 20 paun berbanding individu yang meletakkan minuman ringan yang kerap meningkat sehingga 24 ke 26 paun.

Sementara, individu yang hanya meletakkkan semangkuk buah-buahan hanya mengalami peningkatan sebanyak 13 paun yang jelas jauh lebih rendah.

Sentiasa memilih pinggan yang bersaiz kecil dan pilih warna yang bersesuaian. Saiz pinggan yang besar akan memperlihatkan porsi makanan yang kecil.

Kajian yang dilakukan telah memperlihatkan bahawa individu akan mengambil lebih daripada 16 peratus bijirin jika menggunakan mangkuk besar berbanding individu yang menggunakan mangkuk kecil yang jelas membuatkan mereka makan pada kuantiti yang lebih sedikit.

Di samping itu, individu juga kerap untuk mengambil lebih banyak makanan sekiranya warna makanan itu sama dengan warna piring dan mengurangkan pengambilan sekiranya warna alas meja itu sama dengan warna pinggan yang digunakan.

Penataan cahaya lampu turut mempengaruhi pemilihan makanan yang lebih sihat.
Penataan cahaya lampu turut mempengaruhi pemilihan makanan yang lebih sihat.

Elakkan daripada tabiat makan sambil menonton televisyen. Satu kajian yang dilakukan terhadap 190 ibu bapa dan 148 kanak-kanak mendapati bahawa tabiat makan sambil menonton televisyen akan meningkatkan indeks jisim badan berbanding individu yang tidak melakukannya.

Bijak memilih makanan

Bahagikan bakul atau troli yang digunakan sewaktu membeli-belah di pasaraya atau kedai runcit. Sentiasa utamakan pembelian makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Kajian yang telah dilaksanakan memperlihatkan bahawa individu yang melakukan pembahagian bijak sewaktu membeli-belah dengan mengutamakan pembelian makanan berkhasiat akan lebih cenderung dan mudah untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan.

Berhati-hati apabila membeli secara pukal kerana mengikut satu kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa individu yang membeli keropok kentang, air jus dan biskut dalam kuantiti yang banyak akan cenderung untuk menghabiskannya dalam masa seminggu di mana ia adalah dua kali ganda lebih cepat berbanding memakannya secara normal.

Justeru, langkah terbaik yang anda boleh lakukan ketika membeli sejenis makanan dalam kuantiti yang banyak berikutan daripada adanya tawaran harga yang hebat adalah dengan melakukan kerja pembungkusan semula di mana makanan itu dibahagi-bahagikan dalam bungkusan yang berbeza atau meletakkannya di tempat yang tidak selalu dapat dilihat seperti di dalam stor makanan.

Utamakan untuk mengambil epal sebagai sajian harian atau anda tidak wajar melepaskan peluang sekiranya ada yang menawarkan sampel epal percuma ketika di pasaraya.

Kajian telah memperlihatkan bahawa individu yang memulakan harinya dengan mengambil makanan berkhasiat seperti sebiji epal akan cenderung untuk lebih memilih membeli makanan berkhasiat seperti buah-buahan berbanding mereka yang memilih bijirin dan biskut sebagai menu sarapan pagi.

Di samping itu, anda juga boleh kerap membeli buah-buahan segar seperti epal itu untuk dijadikan sebagai snek bagi menggantikan makanan yang kurang berkhasiat seperti keropok dan coklat.

Penataan cahaya pengaruhi pilihan makanan

Pilih restoran yang menggunakan penataan cahaya yang terang. Perkara ini adalah penting kerana kajian yang dilakukan berdasarkan resit pembelian memperlihatkan bahawa pelanggan yang menjamu selera di dalam ruang restoran yang memiliki penataan cahaya yang terang lebih cenderung untuk memilih makanan berkhasiat terdiri daripada ikan, sayur-sayuran dan daging putih berbanding individu yang memilih untuk menjamu selera di tempat gelap di mana mereka cenderung untuk mengambil 39 peratus kalori yang berlebihan.

Selain itu, pilih tempat duduk yang berhampiran dengan tingkap kerana hasil analisis terhadap 330 keping resit pelanggan mendapati bahawa individu yang memilih tempat duduk berdekatan dengan tingkap cenderung untuk memilih makanan pada jumlah yang sedikit dan berkhasiat mungkin berikutan daripada kerisauan terhadap gelagat dan gaya pemakanan mereka diperhatikan oleh orang awam yang berada berdekatan dengan restoran itu.

Sesuatu yang mungkin kedengaran agak pelik adalah apabila anda boleh mengamalkan tabiat untuk meminta kotak pembungkus yang biasanya digunakan untuk membawa balik mana-mana makanan yang tidak dapat dihabiskan.

Namun kini, anda boleh memilih untuk meletakkan sebahagian daripada makanan yang belum terjamah ke dalam kotak pembungkus itu bagi meminimakan porsi makanan dan makanan yang berlebihan itu pula boleh dimakan pada waktu yang lain. – AP