Tuesday, September 27, 2022
22.3 C
Brunei

Gaya hidup tidak sihat berisiko tingkat kardiovaskular

-

KUALA LUMPUR – Sejak sekian lama, penyakit berkaitan kardiovaskular kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia, dan berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, pada 2019 sahaja 23 peratus kematian pada tahun itu adalah disebabkan penyakit tersebut.

Pemerhatian pakar pula mendapati semakin ramai golongan muda yang menghidap penyakit yang mendedahkan mereka kepada serangan jantung itu.

Menurut Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Madya Dr Muhammad Dzafir Ismail, lebih membimbangkan ialah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19, kebanyakan rakyat mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

“Sepanjang tempoh itu, majoriti rakyat bekerja dari rumah, bermakna mereka menghabiskan hampir sepanjang masa di rumah yang turut menyebabkan pengambilan makanan tidak seimbang secara berlebihan selain kurang beriadah.

“Ramai juga yang berasa tidak bersemangat dan mengalami stres, sekali gus mendorong peningkatan cara hidup tidak sihat seperti merokok,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Perunding Pakar Bedah Kardiotoraksik di Mahkota Medical Centre Dr Kenny Cheng. – Agensi
Salah satu pilihan rawatan untuk CAD adalah dengan menuai urat kaki untuk mencipta saluran baru bagi memintas penyumbatan dalam arteri koronari. – Bernama
EVH antara kemajuan teknologi yang menjadi kaedah pilihan dalam menuai vena safenus besar. – Bernama
Antara gejala yang jelas ialah pesakit sering mengadu sakit dada, rasa seperti dihempap di bahagian tengah atau kiri dada. – Agensi
Kaedah terbaik untuk merawat arteri yang tersumbat adalah dengan memintas bahagian tersebut menggunakan pembuluh darah sihat yang diambil daripada tubuh pesakit. – Bernama

Majoriti kematian adalah lelaki

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Dzafir berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia 2019, daripada 23 peratus kematian akibat penyakit kardiovaskular itu, sebanyak 16,325 kes atau 15 peratus disebabkan penyakit arteri koronari (CAD).

Jumlah itu merangkumi 11,330 kes atau 69.4 peratus kematian lelaki dan baki 4,995 kes (31.6 peratus) adalah wanita.

“CAD disebabkan oleh pembuluh darah jantung tersumbat. Proses pengumpulan lemak atau aterosklerosis adalah sebab utama penyumbatan pembuluh darah boleh berlaku, di mana bekalan oksigen yang dibawa oleh darah tidak sampai ke kawasan otot jantung. Situasi ini juga dikenali sebagai iskemia yang menyebabkan jantung tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Jika dibiarkan berlarutan tanpa dirawat, pesakit akan mengalami serangan jantung yang disusuli kegagalan jantung dan kematian,” jelasnya.

Menurut beliau, CAD yang berlaku dalam jangka masa lama juga boleh diburukkan lagi oleh faktor risiko seperti diabetes, tekanan darah tinggi, paras kolesterol yang tinggi, gaya hidup tidak aktif dan keturunan.

Waspada dengan persekitaran

Pada masa sama, Dr Muhammad Dzafir menasihati masyarakat agar sentiasa berwaspada akan simptom CAD, khususnya pada masa sekarang ketika ahli komuniti masih lagi diancam jangkitan COVID-19 selain bencana bah yang melanda di beberapa kawasan di negara ini.

“Antara gejala yang jelas ialah pesakit sering mengadu sakit dada, rasa seperti dihempap di bahagian tengah atau kiri dada. Rasa sakit ini adakala diiringi dengan kebas di lengan kiri, rahang, leher selain berpeluh, loya dan mungkin juga muntah.

“Bagaimanapun, bagi pesakit yang lebih berusia, penghidap diabetes atau wa-nita, mereka kadang-kadang tidak mengalami rasa sakit se-perti ini, sebaliknya rasa sakit ringan, mengah, pengsan atau lesu melampau,” jelasnya.

Katanya dengan mengenali gejala-gejala tersebut, seseorang dapat menyelamatkan nyawa pesakit dengan membawanya mendapatkan rawatan secepat mungkin.

Banyak pilihan rawatan

Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Kardiotoraksik di Mahkota Medical Centre Dr Kenny Cheng berkata terdapat beberapa pilihan pembedahan CAD yang ditawarkan oleh hospital di negara ini, dan yang paling popular ialah cantuman pintasan arteri koronari, iaitu mewujudkan saluran baharu bagi memintas kawasan tersumbat.

Tambah beliau, kaedah itu terbukti sangat berkesan, lebih tahan lama dengan keputusan yang lebih baik serta kos efektif untuk jangka panjang berbanding opsyen rawatan yang lain, khususnya bagi pesakit yang mempunyai lebih daripada dua penyumbatan.

“Kaedah terbaik untuk merawat arteri yang tersumbat ialah memintas bahagian yang tersumbat itu menggunakan pembuluh darah sihat yang diambil daripada tubuh pesakit, mungkin sebahagian daripada vena safenus besar di kaki atau arteri di dada atau lengan. Paling biasa digunakan ialah vena safenus kerana mudah dituai selain kepanjangannya,” kata Dr Cheng.

Menjelaskan kaedah CABG menggunakan vena safenus besar, beliau berkata aliran darah dapat memintas kawasan penyumbatan menerusi laluan baharu yang wujud daripada cantuman vena di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, penuaian pembuluh darah secara konvensional pada kaki akan menyebabkan luka yang panjang dari buku lali hingga ke paras paha.

Ini mungkin menyebabkan pendarahan ketika atau selepas pembedahan, jangkitan pada luka bedah, rasa sakit serta tempoh berada di hospital yang lebih panjang,” katanya.

Prosedur invasive minimum EVH

Dr Cheng berkata ada prosedur invasif minimum ditawarkan untuk menangani masalah tersebut, iaitu penuaian vena endoskopi (EVH) yang hanya memerlukan insisi sepanjang dua hingga tiga sentimeter bagi penuaian pembuluh darah.

“EVH antara kemajuan teknologi yang menjadi kaedah pilihan dalam menuai vena safenus besar.

“Teknik ini melibatkan insisi kecil di belakang sendi lutut dan vena dikeluarkan dengan bantuan kamera endoskopi.

“Kaedah ini mengelakkan insisi dilakukan sepanjang kaki,” jelasnya.

Tambahan pula kata beliau, EVH tidak meninggalkan parut yang besar selain kurang rasa sakit, sementara risiko terkena jangkitan atau mengalami komplikasi luka bedah pula rendah di samping cepat sembuh.

Jelas Dr Cheng lagi, menerusi EVH, potensi mengalami jangkitan dalam kalangan pesakit berisiko tinggi seperti obes atau penghidap diabetes adalah empat kali lebih rendah berbanding pembedahan penuaian terbuka.

“Berdasarkan satu kajian terkini, jumlah kemasukan semula ke hospital dalam kalangan pesakit CABG kerana mengalami jangkitan pada luka insisi adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding pesakit yang memilih prosedur EVH,” katanya. – Agensi

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas bot terbalik, ragut 24 jiwa

DHAKA, 25 SEPT – Sekurang-kurangnya 24 orang lemas manakala 24 lagi masih hilang selepas bot yang sarat membawa penganut Hindu terbalik di sebuah sungai...
- Advertisment -