Gaya hidup tidak sihat punca utama diabetes

Sebut saja diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis, pasti ramai yang tidak asing lagi mendengar mengenai penyakit berkenaan yang sering dikaitkan dengan masalah kegemukan, mempunyai paras glukosa dalam darah yang tinggi dan mempunyai tekanan darah tinggi melebihi paras normal semasa menjalani pemeriksaan.

Diabetes sering disebut sebagai salah satu penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi masalah kesihatan global yang terbesar pada abad ke-21 di mana ia menjadi punca dalam mengakibatkan komplikasi kronik yang setentunya mampu mengubah kehidupan seseorang.

Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), satu daripada 10 orang dewasa menghidap diabetes pada 2021 di mana dianggarkan 537 juta orang dewasa di seluruh dunia kini menghidap penyakit diabetes dan angka itu dijangka akan meningkat ke 643 juta menjelang 2030. Diabetes menyebabkan 6.7 juta kematian pada 2021 iaitu seorang penghidap diabetes meninggal dunia setiap lima saat di seluruh dunia.

Oleh yang demikian, Hari Diabetes Sedunia disambut setiap tahun pada 14 November sememangnya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang diabetes, termasuk punca, langkah pencegahan dan komplikasi diabetes kepada orang ramai dari semua peringkat usia. Adapun tema untuk Hari Diabetes Sedunia 2021-2023 adalah ‘Akses kepada Penjagaan Diabetes’ yang amat relevan semasa pandemik COVID-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Pentingnya melakukan ujian saringan berkala

Bagi mencapai kesihatan bersama, saringan kesihatan secara berkala begitu penting di mana ia mampu mengesan penyakit di peringkat awal sebelum komplikasi terjadi. Di samping itu, individu yang mengetahui mereka mempunyai status berat badan, tekanan darah serta paras gula atau kolesterol dalam darah yang tidak normal mampu untuk mengurangkan risiko dan mengelakkan terjadinya NCD dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pemeriksaan saringan kesihatan secara berkala begitu penting di mana ia mampu mengesan penyakit di peringkat awal sebelum komplikasi terjadi.
Mengamalkan gaya hidup sihat seperti melakukan aktiviti sukan dapat mengelakkan diri kita daripada penyakit yang tidak berjangkit seperti diabetes.
Pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi kandungan gula yang tinggi merupakan salah satu punca menghidap diabetes.

Perubahan tingkah laku ke arah mengamalkan gaya hidup yang sihat oleh individu dan komuniti secara keseluruhannya, daripada aspek amalan gaya pemakanan secara sihat, hidup yang aktif dan bebas dari asap rokok adalah amat penting dalam mengurangkan risiko bagi seseorang individu itu untuk mendapat NCD. NCD boleh dicegah, namun pencegahan yang efektif memerlukan penglibatan aktif individu dan komuniti

Tidak aktif punca utama diabetes

Perlu diketahui juga, diabetes juga boleh dianggap sebagai ‘penyakit gaya hidup’. Hal ini kerana ia lebih lazim dialami oleh kalangan orang yang tidak aktif, mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Jika tidak ditangani, diabetes boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk sakit jantung, kegagalan buah pinggang, strok, buta mata dan amputasi anggota badan.

Diabetes yang sering dirujuk oleh doktor sebagai diabetes melitus, merangkumi sekumpulan penyakit metabolik di mana pesakit mempunyai tahap glukosa darah (gula darah) yang tinggi, sama ada kerana pengeluaran insulin tidak mencukupi atau kerana sel badan tidak bertindak balas dengan sewajarnya kepada insulin atau kedua-dua sebab sekali.

Antara gejala diabetes yang paling umum adalah termasuk kerap kencing, rasa teramat haus dan lapar, kenaikan berat badan, kehilangan berat luar biasa, kelesuan, luka dan lebam yang tidak sembuh, disfungsi seks lelaki serta rasa kebas pada tangan dan kaki.

Diabetes jenis 1 kekal sepanjang hayat, tetapi boleh dikawal dengan menggunakan insulin.

Manakala, diabetes jenis 2 biasanya dihidapi disebabkan oleh amalan gaya hidup yang tidak sihat dan boleh dicegah, iaitu menerusi kombinasi senaman, pemakanan yang sihat dan kawalan berat badan.

Komplikasi yang dikaitkan dengan diabetes yang tidak dikawal adalah termasuk kerumitan komplikasi mata, masalah jantung, hipertensi, kesihatan mental dan strok. Dengan perubahan gaya hidup dan pemeriksaan awal secara tidak langsung boleh mencegah diabetes. Pengurusan diabetes yang berkesan menjadi kunci untuk memastikan ia tidak menjadi statistik kesihatan semata-mata.

Punca kematian ketiga utama

Diabetes merupakan penyakit tidak berjangkit yang disebabkan oleh pengeluaran insulin yang tidak mencukupi atau penggunaan insulin yang tidak berkesan oleh badan yang mengakibatkan paras gula dalam darah yang tinggi (hiperglisemia). Jika ia tidak dirawat, hiperglisemia menyebabkan kerosakan organ dan kematian pramatang di mana diabetes adalah juga punca utama penyebab kehilangan penglihatan, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, strok dan amputasi anggota di bahagian bawah badan.

Menurut Kaji Selidik Kebangsaan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit 2015-2016, prevalens diabetes di kalangan orang dewasa ialah 9.7 peratus dengan diabetes merupakan punca kematian ketiga utama selepas penyakit jantung dan kanser di Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan berkenaan antara yang ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menyampaikan perutusannya sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia, baru-baru ini.

“Pengesanan awal dan seterusnya rawatan diabetes adalah penting untuk mengurangkan risiko kerosakan organ akibat hiperglisemia. Usaha berterusan telah dan sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan, sebelum penularan gelombang kedua pandemik COVID-19 untuk memudahkan pengesanan awal diabetes melalui Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (PPKK) serta Program Tempat Kerja dan Kesihatan (WAH).

“Diabetes review atau pengawasan diabetes, pendidikan kesihatan, rawatan ubat-ubatan yang terdiri daripada terapi oral dan suntikan insulin serta saringan bagi sebarang komplikasi semuanya ditawarkan di hospital dan pusat-pusat kesihatan,” ujarnya lagi.