‘Gaya rambut koronavirus’ semakin popular

NAIROBI, 11 MEI – Koronavirus telah menghidupkan semula gaya rambut di Afrika Timur iaitu dengan tocang tercacak yang menyerupai bentuk virus.

Kepopularan gaya itu sebahagiannya disebabkan kegawatan ekonomi yang dikaitkan dengan sekatan virus – ia adalah murah, kata ibu-ibu – dan matlamatnya adalah menyebarkan kesedaran bahawa koronavirus benar-benar wujud.

Gaya rambut itu telah ketinggalan zaman dalam beberapa tahun ini apabila rambut asli dan sintetik diimport dari India, China dan Brazil mula membanjiri pasaran dan permintaan oleh wanita tempatan meningkat. Gambar gaya tocang yang diimport tersusun dalam salun kecantikan di kebanyakan kawasan Afrika.

Namun sekarang, di sebuah salun sementara di sebelah jalan raya sibuk di Kibera, tempat setinggan di ibu negara Kenya, Nairobi, pendandan rambut berusia 24 tahun Sharon Refa menocangkan rambut budak perempuan menyerupai antena yang digelar ‘gaya rambut koronavirus’. Budak perempuan duduk di kerusi plastik tatkala beliau menjalin rambut di kulit kepala mereka.

“Sesetengah orang dewasa tidak percaya koronavirus wujud, tetapi kebanyakan kanak-kanak berminat mencuci tangan mereka dan memakai penutup mulut dan hidung. Ramai orang dewasa tidak melakukannya, dan itulah sebabnya kenapa kami memperkenalkan gaya rambut korona,” kata Refa.

Ibu-ibu seperti Margaret Andeya, yang bergelut untuk mencukupkan belanja, berkata gaya rambut koronavirus sesuai dengan keperluan anak perempuannya. Sekatan virus telah menghambat kerja-kerja harian untuk jutaan penduduk yang tidak mempunyai wang simpanan. – AP

Gambar fail menunjukkan rambut Gettrueth Ambio, 12, ditocang dalam bentuk koronavirus di Salun kecantikan Mama Brayo di Kibera, Nairobi, Kenya. – AP