MILAN – Sejak kejayaan koleksi perdana haute couture Fendi, para penggemar fesyen tidak sabar-sabar menanti hasil rekaan pengarah artistik Kim Jones dalam pertunjukan koleksi pertamanya bersama Fendi.
Pada Minggu Fesyen Milan Musim Bunga/Panas 2022, Jones telah menampilkan koleksi santai namun bergaya, penuh warna berdasarkan tema era 70an untuk busana siap pakai Fendi.
Pilihan warna-warna pastel yang romantis dan feminin menyerlahkan lagi kreativiti dengan corak labuci dan motif yang digabung dengan siluet moden untuk koleksi kedua busana wanita ciptaan Kim.
Stail fesyen musim 2022 nampak glamor dengan kot bulu dipadan dengan but paras lutut atau skirt mini serta seluar berlapiskan bulu biri-biri.
Untuk fesyen siang hari, jaket merah muda daripada kain satin tampak ceria dipadankan dengan seluar lebar. Baju longgar labuh dihiasi dengan logo Fendi, gaun malam satin serta jaket menekankan penampilan selesa.
“Wanita sekarang ingin rasa lebih bebas kerana kami semua telah terperap di rumah untuk masa yang lama dan saya rasa itulah yang diperlukan oleh kami semua sekarang,” kata Kim, menggelar koleksinya adalah untuk semua wanita. – AFP