Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Gaza capai persetujuan gencatan senjata dengan Israel

    GAZA, 8 OGOS – Jihad Islam Palestin (PIJ) yang aktif di Semenanjung Gaza mengumumkan kelmarin bahawa pihaknya telah mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Israel.

    Israel sebelum ini mengesahkan bahawa gencatan senjata dengan perantaraan Mesir itu akan berkuat kuasa pada 11:30 malam waktu tempatan, sekali gus menamatkan serangan udara Israel dan serangan roket Palestin, lapor Xinhua.

    Perjanjian gencatan senjata itu termasuk tindakan susulan Mesir untuk memastikan pembebasan tahanan Palestin iaitu Bassam al-Saadi, seorang pemimpin kanan PIJ yang ditangkap di sebuah kediaman di Tebing Barat minggu lalu dan Khalil Awawda, yang kesihatannya semakin merosot selepas berbulan-bulan melancarkan mogok lapar, kata ketua jabatan politik PIJ, Mohammad al-Hindi.

    Perjanjian itu juga termasuk melonggarkan sekatan yang dikenakan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007 dan membekalkan bahan api ke stesen jana kuasa yang dihentikan operasinya baru-baru ini dan memberi kesan terhadap sistem kesihatan.

    Dalam kenyataan media, pengantara Mesir berkata mereka telah meningkatkan hubungan dengan semua pihak untuk membendung peningkatan konflik, menyeru “gencatan senjata yang menyeluruh dan bersama” dan akan “berusaha membebaskan Awawda agar mendapat rawatan sewajarnya serta berusaha membebaskan Saadi secepat mungkin.”

    Remaja Palestin melihat kerosakan dalam sebuah kereta susulan konflik tiga hari Israel dan Palestin di kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza, 8 Ogos. – AFP

    Sementara itu, kedua-dua pihak yang bertelagah berkata mereka berhak untuk menggunakan kekerasan walaupun selepas gencatan senjata.

    PIJ dalam satu kenyataan mengalu-alukan gencatan senjata itu tetapi menegaskan bahawa “kami akan mempertahankan hak kami untuk bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan Zionis.”

    Sementara itu, Ketua Di-rektorat Diplomasi Awam Kebangsaan Israel, Lior Hayat berkata “jika gencatan senjata dilanggar, Israel berhak untuk bertindak balas.”

    Sekurang-kurangnya 44 rak-yat Palestin, termasuk 15 kanak-kanak terbunuh, manakala 360 cedera sejak Israel memulakan serangan di Semenanjung Gaza pada Jumaat, menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian kesihatan Palestin di Gaza lewat Ahad.

    Mangsa yang terkorban termasuk dua komander tertinggi PIJ, yang terbunuh dalam dua serangan udara berasingan di bandar Gaza dan bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

    Laporan media Israel memaklumkan sekurang-kurangnya lapan rakyat Israel cedera akibat serangan roket yang dilancarkan PIJ ke selatan dan tengah Israel. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...