Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gaza diambang perang

    PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, Amerika Syarikat, 31 Mei – Pertempuran terbaharu yang membabitkan tentera Israel dan pejuang Palestin, Hamas diramal akan membawa Tebing Gaza ke kancah peperangan, wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Timur Tengah memberi amaran kepada Majlis Keselamatan, semalam.

    Nickolay Mladenov mengeluarkan amaran itu ketika Majlis Keselamatan masih buntu mengenai tindakan yang perlu diambil bagi menangani serangan kumpulan pemisah Palestin di Tebing Gaza dan Israel.

    “Serangan terbaharu ini memberi amaran kepada semua pihak bahawa kita berdepan dengan ancaman peperangan setiap hari,” kata Mladenov menerusi sidang video dari Baitulmaqdis.

    “Tiada sesiapa di Semenanjung Gaza yang mampu berdepan dengan satu lagi peperangan,” katanya.

    Majlis Keselamatan PBB telah mengadakan mesyuarat tergempar semalam, atas permintaan Amerika Syarikat (AS) bagi mendesak badan dunia itu mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Hamas melancarkan serangan roket terhadap Israel.

    Pemerhati tetap Palestin di PBB, Riyad Mansour ketika berucap semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB mengenai konflik di Israel-Gaza di ibu pejabat PBB, di New York pada 30 Mei 2018. – AFP

    Bagaimanapun, anggota bukan tetap UNSC, Kuwait yang mewakili negara Arab, menolak draf kenyataan AS itu dan menegaskan bahawa mereka sudah menyerahkan draf resolusi bagi menangani krisis berkenaan.

    Serangan Selasa lalu dan awal pagi semalam bermula dengan roket dan mortar ke Israel dari Gaza, mendorong Israel untuk bertindak balas dengan serangan ke atas 65 tapak pemisah di Tebing Gaza.

    Keganasan itu adalah peningkatan yang paling serius sejak perang 2014 antara Israel dan Hamas dan diikuti protes penduduk Palestin selama berminggu-minggu di mana lebih daripada 100 orang Palestin telah ditembak dan dibunuh oleh tentera Israel.

    Semalam, Gaza kelihatan seperti pulih, namun wakil-wakil PBB menyatakan kebimbangan jika protes yang sedang berlaku ini berpanjangan hingga ke bulan Jun, ia akan menyebabkan serangan ganas lagi.

    Sementara itu, Kuwait dijangka mendesak Majlis Keselamatan supaya meluluskan draf resolusi yang dibentangkannya supaya langkah sewajarnya diambil bagi melindungi penduduk Palestin, menurut maklumat yang diperoleh AFP.

    Amerika Syarikat yang mempunyai kuasa veto dijangka membantah keputusan berkenaan, menurut Duta Israel, Danny Danon kepada wartawan.

    Duta Amerika Syarikat, Nikki Haley, pula berkata penduduk Semenanjung Gaza tidak memerlukan perlindungan dari pihak luar, sebaliknya mereka perlu perlindungan daripada serangan Hamas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda