KUALA LUMPUR, 6 NOV – Angka kematian di Gaza meningkat kepada 9,770 semalam, dengan sekurang-kurangnya 2,000 lagi masih belum dikesan dan dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan rumah dan bangunan yang musnah akibat serangan udara tanpa henti oleh rejim Zionis.
“…kami tidak mempunyai sukarelawan dan jentera berat yang mencukupi untuk membantu mencari dan mengeluarkan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan.
“Agensi pertahanan awam kami tidak dapat mengeluarkan mereka, selain tidak dapat menangani serangan udara bertubi-tubi, kemusnahan dan pengeboman berlaku di setiap kawasan di Semenanjung Gaza,” kata Ketua Dasar Awam di Pejabat Perdana Menteri Gaza, Dr Abdullah Waleed kepada Bernama ketika dihubungi melalui WhatsApp.
Dr Abdullah berkata keperluan untuk mewujudkan pertahanan awam yang mampu bertindak balas dalam menangani bencana buatan manusia itu amat mendesak.
“Pertahanan awam semakin diperlukan sekarang, terutama tahap kemusnahan dan jumlah korban di Gaza sejak 7 Oktober lepas tidak dapat dibandingkan dengan pencerobohan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata tiada lagi tempat selamat di wilayah yang dikepung itu, dengan tentera penceroboh Israel melakukan serangan hampir setiap jam, setiap hari tanpa henti. – Bernama
