Gazel terancam diberi habitat baharu

BAITULMAQDIS – Israel ialah salah satu tempat terakhir di mana gazel spesies terancam merayau-rayau di hutan tetapi apabila pembangunan mengecutkan habitat semula jadi savana mereka, pakar ekologi sedang mengkaji sama ada spesies tersebut juga boleh hidup dalam hutan kecil.

Pakar hidupan liar berharap jumlah spesies tersebut boleh dipulihkan di hutan jarang seperti hutan Martyrs di barat Bailtulmaqdis, di mana enam juta pokok ditanam selepas Perang Dunia Kedua.

Untuk mengkaji bagaimana haiwan boleh menyesuaikan diri kepada alam sekitar baharunya dan sumber makanan, satu kumpulan di Pusat Volcani, pertubuhan penyelidikan pertanian Israel, telah mengumpul najis haiwan itu untuk mengkaji kualiti diet pemakanannya.

Berbekalkan penyodok kecil, mereka berjalan di laluan yang ditutup dedaun yang membawa ketua kumpulan Guy Dovrat dan kakitangannya ke tempat yang digelar oleh mereka sebagai ‘sebuah stesen’, gembira menemui hasil kutipan mereka.

Analisis telah pun mencadangkan haiwan herbivor ini boleh menyesuaikan diri dengan ekosistem hutan, kata Dovrat.

Seorang penyelidik dari Pusat Volcani memasang kamera automatik pada sebatang pokok untuk memantau gazel gunung di hutan berhampiran Moshav Mesilat Tzion, barat Baitulmaqdis pada 4 Januari 2021. – AFP

Gazel masih ditemui di utara dan selatan Israel, berdekatan dengan pinggir pantai dan di kawasan Baitulmaqdis.

Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula jadi Antarabangsa meletakkan gazel gunung dalam ‘Senarai Spesies Terancam’ pada 2017, berkata jumlahnya telah merosot disebabkan pemburuan, pembunuhan jalan dan kemusnahan habitat.

Jumlah spesies itu di Israel kini dianggarkan pada kira-kira 5,000, namun semakin merosot disebabkan pembandaran dan tekanan lain, menurut Yoram Yom-Tov dari Universiti Tel Aviv dan Uri Roll dari Universiti Ben Gurion di Beersheva.

Pembinaan jalan raya, bandar dan rumah baharu di Israel telah mengurangkan habitat haiwan, memecahkan wilayahnya dan menyisih jumlah gazel, kata dua ahli sains tersebut dalam artikel yang disiarkan dalam Oryx, Jurnal Pemuliharaan Antarabangsa.

Haiwan tersebut juga berdepan ancaman daripada kereta, pemangsa seperti serigala atau jakal, malah pemburuan, walaupun ia dilarang di Israel.

Menurut artikel, meskipun Israel menjadi ‘kubu terakhir’ gazel gunung, jumlah haiwan di sana juga berkurangan dan tidak memenuhi potensi pembiakan sepenuhnya.

Dovrat, dalam kajiannya, bergabung dengan Dana Negara, yang mengendali Hutan Martyrs, ditanam pada 1951.

“Kami telah menubuhkan perkongsian ini untuk melihat bagaimana kami boleh menggunakan data mengenai gazel pada masa depan untuk menguruskan hutan dengan lebih baik,” kata Yahel Porat, 45, ahli ekologi dan pekebun landskap di JNF.

Salah satu cara membantu gazel adalah menanam tumbuh-tumbuhan yang disukai haiwan tersebut, kata Porat.

Kumpulan Dovrat juga memasang kamera pada pokok untuk merakam pergerakan gazel dan menganggarkan jumlah keseluruhannya.

“Adalah penting untuk kami mengetahui di mana terdapatnya gazel untuk menyesuaikan diri kepada aktiviti kami dalam hutan, mengelak mengganggunya dan mengelak mendesak haiwan itu ke jalan raya,” kata Porat.

Pusat itu baru-baru ini telah mendirikan jambatan ekologi di atas jalan untuk membenarkan gazel bergerak dari hutan ke hutan, menurutnya lagi.

“Ia adalah salah satu perkara paling penting yang kami lakukan hari ini demi memelihara jumlah spesies tersebut.” – AFP