Gbagbo mahu dibebaskan tanpa syarat

THE HAGUE, 6 FEB – Bekas presiden Ivory Coast Laurent Gbagbo hari ini meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa supaya melepaskannya tanpa syarat berikutan pembebasannya pada tahun lalu berhubung keganasan selepas pilihan raya yang membunuh 3,000 orang.

Gbagbo dan timbalannya Charles Ble Goude dibebaskan daripada tuduhan jenayah ke atas kemanusiaan setahun lalu, lapan tahun selepas penahanan bekas pemimpin Afrika Barat dan pemindahan ke mahkamah The Hague.

Belgium bersetuju menerima Gbagbo, 73, selepas beliau dibebaskan pada Februari tahun lalu di bawah syarat-syarat ketat termasuk beliau akan kembali ke mahkamah untuk rayuan pendakwaan ke atas pembebasannya.

Namun Dov Jacobs, anggota kumpulan perundangan Gbagbo memberitahu hakim ‘pada prinsipnya tidak boleh adanya sekatan ke atas orang yang dibebaskan.’

Orang sedemikian ‘mesti boleh mengamalkan kesemua hak mereka termasuk hak sivil dan politik,” kata Jacobs.

“Satu-satunya keputusan logik adalah meninggalkan kesemua syarat yang membatas kebebasan,” kata beliau.

Perbicaraan di ICC, ditubuhkan pada 2002 untuk membicara jenayah paling teruk di dunia, akan diteruskan esok, namun masih tidak jelas bila hakim akan mengeluarkan keputusan.

Ble Goude, yang tinggal di The Hague, dibebaskan di bawah syarat yang sama. Beliau dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada tahun lalu oleh mahkamah Ivory atas dakwaan membunuh, merogol dan menyeksa.

Namun berikutan pembebasan Ble Goude di ICC, sebuah mahkamah Ivory mengemukakan perbicaraan baharu ke atas beliau berhubung pertumpahan darah 2010-2011 yang menyusuli pengundian yang dipertikaikan di negara Afrika Barat itu. – AFP