GDG Brunei rai Hari Wanita Antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Kumpulan Pemaju Google (GDG) Brunei tidak ketinggalan meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2020 dengan acara yang berlangsung di Kampus Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), baru-baru ini.

Lebih 100 orang menyertai acara berkenaan yang membawakan tema #TogetherWeRise.

Acara berkenaan mendatangkan pakar-pakar dalam bidang Sains Data, Pembelajaran Mesin dan keseimbangan kerja-kehidupan dari RB, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Universiti Brunei Darussalam dan Politeknik Brunei untuk berkongsi pengetahuan.

Ini merupakan kali pertama GDG Brunei menganjurkan acara tahunan berkenaan dengan kerjasama RB yang mana syarikat penerbangan tersebut memberikan sokongan menerusi penggunaan premis kampusnya di Jalan Kustin.

Selain RB, acara sehari yang dipenuhi dengan taklimat-taklimat teknikal dan kemahiran asas serta pertandingan siber Capture-The-Flag untuk wanita tersebut turut mendapat sokongan daripada eBunda, ITPSS Sdn Bhd dan Printmartz.

Dalam pertandingan siber untuk wanita yang julung-julung kalinya diadakan itu, tiga pemenang memenangi tiket penerbangan tajaan RB dengan pemenang pertama membawa pulang tiket ke Kuching dan cekera keras 4TB tajaan eBunda oleh Dynamik Technologies.

Tempat kedua, Dayang Nurbazilah binti Haji Metussin membawa pulang tiket ke Sandakan dan cekera keras 2TB sementara itu, Dayang Nadherah Hazwanee binti Amir memenangi tiket ke Tawau di tempat ketiga.

Para peserta bergambar ramai semasa meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2020 di Kampus RB baru-baru ini.