Gedung beli-belah produk terpakai tarikan di Sweden

ESKILSTUNA, 19 JULAI – Gara-gara tidak berpuas hati dengan kebanyakan kedai kejiranannya, sebuah bandar di Sweden mengambil keputusan membuka sebuah gedung beli-belah untuk memberi nafas baharu kepada bara-ngan terpakai.

Pusat beli-belah yang mengambil masa perjalanan kereta api selama sejam ke barat Stockholm di bandar Eskilstuna, mempunyai 13 kedai berkeluasan kira-kira 5,000 meter persegi, mempunyai antara 50 dan 65 orang pekerja.

Ia dinamakan ReTuna, sempena drama dimainkan di Eskilstuna, yang menandakan usaha menghidupkan semula bandar itu sebagai kota ekologi pada tahun 1990an. ReTuna yang dirasmikan pada tahun 2015, dinobatkan sebagai ‘pusat beli-belah pertama di dunia yang dirancang untuk diperbaiki, dikitar semula dan dipulihkan’ oleh Guinness Book of World Records pada tahun 2020.

Mempunyai dua tingkat, gedung itu menjual peralatan teknologi terpakai, buku, mainan kanak-kanak dan barangan rumah serta sejumlah produk lain.

“Secara umumnya anda boleh melakukan semua jenis perbelanjaan di sini yang biasa dilakukan di kedai perabot, pakaian, bunga, barangan sukan, bahan binaan, hampir semuanya,” kata Anna Bergstrom, pihak yang mengendalikan ReTuna hingga awal 2020.

Sweden berhasrat menjadi negara pendahulu yang mengutamakan ekologi dan bebas karbon pada 2045. Dilengkapi dengan pusat pengumpulan sampah canggih, bandar raya itu sudah mengitar semula atau mengubah sebahagian besar sampah menjadi tenaga. – AFP

Gambar pada 15 November 2019 menunjukkan barangan yang akan diproses di kilang pemprosesan di ReTuna, pusat membeli-belah dikhaskan untuk objek terpakai di Eskilstuna, Sweden. – AFP