Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Gedung didenda salah guna pili bomba

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Sebuah gedung perniagaan di Daerah Belait telah dikenakan denda kompaun di bawah Bab 56 Komposisi Kesalahan, Akta Perintah Keselamatan Kebakaran 2016 kerana didapati menyalahgunakan pili bomba.

    Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, Bahagian Keselamatan Kebakaran, Cawangan Operasi B Daerah Belait telah mengenakan denda kompaun di bawah Bab 56 Komposisi Kesalahan, Akta Perintah Keselamatan Kebakaran 2016, ke atas sebuah gedung perniagaan atas kesalahan Bab 13 (1) (a) iaitu mana-mana orang yang bukan seorang ahli mengambil air dari pili bomba kecuali untuk memadam kebakaran tanpa kebenaran Pengarah Bomba dan Penyelamat adalah dianggap melakukan sesuatu kesalahan.

    Gedung perniagaan itu didapati menyalahgunakan pili bomba iaitu mengambil air dari pili bomba tanpa kebenaran bagi kegunaan komersial. Gedung perniagaan berkenaan dikehendaki untuk menjelaskan denda kompaun $300 dalam tempoh 14 hari dari tarikh ia dikeluarkan.

    Jika gagal, tindakan selanjutnya akan dilaksanakan. Setiap premis hendaklah mengetahui dan mematuhi Akta Perintah Keselamatan Kebakaran 2016 yang telah dikuatkuasakan.

    JBP menyarankan bahawa orang ramai adalah ditegah merosakkan dan menyalahgunakan pili-pili bomba untuk kegunaan lain, selain kecemasan, tanpa kebenaran, tidak dibenarkan menutup, menggari atau menyembunyikan mana-mana pili bomba hingga menyukarkan tempatnya untuk dikenal pasti. Mereka juga disarankan untuk memastikan persekitaran pili-pili bomba dalam keadaan bersih dan tidak ditutupi oleh rumput lalang serta melaporkan ke talian 993 jika mendapati perkara yang mencurigakan seperti mencuri atau merosakkan pili-pili bomba.

    Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Sebuah gedung didapati menyalahgu-nakan air dari pili bomba untuk kegunaan komersial.
    Pili bomba yang telah digunakan tanpa kebenaran bagi kegunaan komersial.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...