MODEL pertama yang akan menjadi penawaran hasil usaha sama Geely dan Proton ialah sebuah SUV yang dilandaskan kepada model sedia ada pengeluar dari China itu, Geely Boyue. Ia dijangka akan mula dipasarkan di Malaysia tahun depan, pada tanda harga yang sangat berpatutan jika dibanding dengan kenderaan kelas yang sama dengannya.
Dengan ukuran dimensi 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi serta jarak antara roda 2,670 mm, ia bersaing di dalam segmen C SUV dan sedikit lebih kecil berbanding Mazda CX-5. Dengan Honda CR-V pula, Boyue adalah 77 mm lebih pendek, kurang 24 mm bagi kelebaran dan 15 mm lebih tinggi, sementara jarak antara rodanya pula ialah 10 mm lebih panjang.
Penggayaannya diselia oleh bekas pereka dari Volvo, Peter Horbury; perlahan-lahan mengubah arah reka bentuk kenderaan Geely yang kini meraih lebih banyak perhatian diperingkat global berbanding sebelumnya. Antara sentuhan yang wajar dinyatakan ialah wajah depan dengan gril serta lambang Geely yang lebih menonjol, serta penggunaan lampu utama LED yang ditawarkan sebagai pilihan meletakkannya di satu aras yang berbeza.
Dari sisi, menurut Paultan, aliran garis badan yang berkesinambungan dari depan ke belakang memberikan visual yang yang unik dan teguh pada SUV ini. Bahagian tiang yang dihitamkan juga menampakkan seolah-olah bahagian bumbung terpisah dari badan – satu bentuk pendekataan rekaan yang terdapat pada model-model yang lebih premium, seperti dari Range Rover.
Sentuhan perincian pada bahagian luaran juga lebih menarik. Misalnya dengan kedudukan lampu kabus, serta skid plate pada bahagian bawah bampar depan dan belakang menyumbang penampilan yang lebih ranggi terhadap SUV ini. Jika luarannya tampil segak dan menarik, bagaimana pula bahagian dalamannya?
Boyue tidak hadir dengan ruang dalam yang nampak murah dengan penggunaan material plastik keras seperti yang selalu dilihat pada model-model dari China sebelum ini. Rekaan ruang dalamannya mengimbangi estetika yang ditampilkan di luar; sedap mata memandang dan hadir dengan banyak unsur-unsur rekaan yang menarik.
Papan pemukanya pula “bersih” dengan permukaan dari plastik lembut, tak berlebihan jika disifatkan lebih baik daripada kebanyakan ciri sama yang ada pada kenderaan premium lain. Stereng juga rata bahagian bawahnya, dengan konsol tengah yang tinggi dengan pemegang seperti yang pernah dilihat pada model Porsche Cayenne memberikan nuansa moden dan kontemporari untuk ruang dalaman Boyue.
Tempat duduknya pula dibalut dengan material kulit Nappa. Kemasan dari kesan aluminium dengan penyudah satin yang digunakan pula meletakkan satu tahap lain pada suasana ruang kabinnya. Dalam bahasa mudah, ia tidak nampak murah, melainkan telah difikirkan dengan agak baik dan dizahirkan dengan cara yang sangat menarik, baik dari aspek sentuhan ataupun sekadar visual yang dilihat.
Dari segi ruang, ia luas. Ruang kaki dan kepala yang tersedia memadai untuk menempatkan penumpang dengan selesa. Dengan bumbung panoramik dan lantai belakang yang rata menyumbang kepada rasa suasana yang lebih terbuka. Bagaimanapun, hanya ada satu corong pendingin hawa di belakang. Ruang barangan pula ada sedikit kekurangan.
Walaupun agak luas, kedudukan lantai ruang tersebut yang agak tinggi akan sedikit menyusahkan sekiranya anda ingin mengangkat barangan berat. Cuma, lebihan bukaan ruang berkenaan yang lebar memudahkan pengguna meletakkan barangan secara bertindan.
Sudut kedudukan stereng juga lebih ke arah mendatar – seperti yang selalu kita lihat pada trak dan lori ringan – dan ia tidak boleh diselaraskan semaksimum mungkin ke arah anda. Bagaimanapun ketinggian dan jarak itu tadi masih boleh diubah dalam pergerakan yang agak terhad.
Model ini juga hadir dengan ciri sistem infotainmen G-Link dengan skrin sentuh lapan inci dan sambungan Bluetooth, sistem tunjuka arah serta lapan pembesar suara. Versi paling lengkapnya pula hadir dengan G-Netlink dengan sambungan 3G serta slot kad SIM sendiri, hotspot Wi-Fi dan sokongan Apple CarPlay. Turut ada ialah ciri kawalan dengan suara – seperti Siri pada produk Apple.
Menurut wakil Proton, versi yang akan dijual di Malaysia akan dilengkapi dengan sistem G-Netlink ini, dan pengesanan suara pula perlu dilakukan dalam bahasa Inggeris bagi model yang bakal dijual di sini. Ini satu ciri yang sangat menarik dan akan memberi nilai tambah kepada pengguna di sini, sekiranya ia berfungsi dengan sangat baik.
Dari sudut ciri-ciri keselamatan, Boyue dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan dan Auto Brake Hold hadir sebagai ciri standard. Enam beg udara dan kawalan menuruni bukit pula akan melengkapi varian paling tinggi.
Selain itu, satu lagi enjin ialah 1.8 liter petrol turbocas suntikan terus yang menghasilkan 161 hp @ 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,500 rpm dengan gandingan transmisi manual. Bagi versi yang menggunakan transmisi automatik enam-kelajuan, janaan kuasanya ialah 181 hp dan 285 Nm, dengan pilihan bagi sistem pacuan AWD.
Pasaran lain turut menerima enjin 2.4 liter (153 hp/225 Nm) dengan gear automatik. Setakat yang diketahui, belum ada apa-apa pengesahan dari Proton berkaitan pilihan enjin dan transmisi mana yang akan diperkenalkan di sini nanti. Kebarangkalian paling besar mungkin ialah model automatik 2WD yang sempat dicuba ini.