RANAU, 26 APRIL – Gegaran akibat gempa bumi lemah dengan magnitud 3.7 pada skala Richter pada 9.28 pagi tadi bukan sahaja dirasai di sekitar Kundasang di sini, tetapi turut dirasai di Gunung Kinabalu.
Malim gunung Joeythine Musin, 29, berkata beliau bersama beberapa pendaki sedang mula turun dari Gunung Kinabalu pagi ini apabila tiba-tiba mereka merasai gegaran sekitar beberapa saat.
Beliau berkata gegaran itu tidak menyebabkan kejadian tidak diingini seperti runtuhan batu-batu di gunung itu.
“Ya ada pendaki sama saya di sini. Atas gunung (Gunung Kinabalu) pun ada rasa (gegaran juga) tapi tiada batu jatuh, rasa macam biasa saja dia orang (pendaki) bilang tadi,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Sementara itu, menurut Ketua Stesen sub-stesen Panalaban, Taman Kinabalu, Julaimin Kamin, keadaan terkawal di check point Sayat-Sayat dan Kompleks Panalaban di Gunung Kinabalu dan tiada situasi kecemasan berlaku akibat gemba bumi itu. – Bernama