Gegelang gergasi Olimpik Tokyo jalani penyelenggaraan

TOKYO, 6 OGOS – Sebuah gegelang Olimpik gergasi yang dipasang di dermaga Tokyo telah diturunkan bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan selepas koronavirus telah memaksa Sukan Olimpik 2020 ditunda setahun.

Gegelang bersambung seberat 69 tan itu telah dipasang dari kawasan teluk Odaiba pada awal tahun ini, ketika kota itu mula menghitung hari bagi Sukan Olimpik Musim Panas.

Gegelang Olimpik itu sepatutnya kekal dipasang sehingga tarikh berakhir Sukan Olimpik yang asal iaitu pada 9 Ogos, dan kemudian akan digantikan dengan simbol Sukan Paralimpik.

Tetapi pada Khamis, tongkang yang memegang tugu itu – yang tingginya lebih dari 15 meter dan lebar 32 meter – ditarik kembali ke pantai.

“Simbol Olimpik serta tongkang yang membawanya akan menjalani pemeriksaan keselamatan dan menjalani penyelenggaraan selama kira-kira empat bulan.

“Tarikh pemasangan semula ke lokasi asal akan ditentukan setelah penyelenggaraan selesai,” menurut kerajaan Metropolitan Tokyo dalam satu kenyataan.

Sukan Olimpik sepatutnya dijadualkan akan dibuka rasmi pada 24 Julai, tetapi pegawai-pegawai telah mengambil langkah yang bersejarah untuk menunda kejohanan itu selama setahun disebabkan oleh penularan wabak koronavirus di seluruh dunia. – AFP

Kapal tongkang yang membawa gegelang Olimpik gergasi bagi menjalani pemeriksaan keselamatan dan menjalani penyelenggaraan. – AFP