Gelang bagi pesakit COVID-19, kontak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Kementerian Kesihatan telah mula menggunakan kaedah pemakaian gelang tangan bagi mereka yang telah dikenal pasti positif COVID-19 dan juga bagi kontak-kontak yang diarahkan untuk menjalani perintah kuarantin di mana ia merupakan sebagai langkah tambahan pengawalan COVID-19.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei

Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

“Gelang tangan ini akan dipasangkan oleh pegawai-pegawai berkuasa kepada mereka yang berkenaan semasa membuat lawatan ke rumah-rumah pesakit untuk memindahkan pesakit ke fasiliti pengasingan ataupun di pusat-pusat swab semasa pesakit atau kontak-kontak terdekat diarahkan untuk menjalani ujian swab.

“Mereka yang telah diarahkan untuk menggunakan gelang tangan ini adalah dimestikan untuk sentiasa memakainya sehingga selesai menjalani tempoh pengasingan diri yang ditetapkan.”

Gelang berwarna yang digunakan untuk pesakit COVID-19 dan kontak.

Beliau menekankan lagi bahawa sesiapa yang melanggar peraturan penggunaan gelang tangan berkenaan akan didakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204).

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat dua warna gelang tangan digunakan iaitu merah bagi pesakit COVID-19 dan biru bagi kontak-kontak yang terdekat atau mereka yang diarahkan untuk menjalani pengasingan diri setelah menjalani ujian swab.

Sementara itu, semasa mengulas persoalan penerangan lanjut mengenai penggunaan gelang itu, Yang Berhormat Dato sekali menekankan pentingnya pelaksanaan langkah pengawalan terkini itu dalam memastikan bahawa mereka yang didapati positif COVID-19 dan mereka yang dibawa Perintah Kuarantin untuk terus berada di rumah masing-masing.

Beliau turut mengulas mengenai penggunaan gelang tangan yang dilengkapi dengan sistem GPS pada tahun lepas di mana terdapat kekurangannya iaitu ia harus digunakan bersama dengan telefon bimbit yang mempunyai fungsi Bluetooth dan ia tidak dapat digunakan oleh mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit pintar.

Selain daripada itu, beliau berkata gelang itu juga mempunyai kelemahan di mana jika seseorang mempunyai dua telefon bimbit, mereka masih boleh menghubungkan gelang pada satu telefon dan meninggalkan peranti itu di rumah jika mereka keluar.

Beliau menerangkan lanjut bahawa kaedah penggunaan gelang yang diperkenalkan adalah lebih mudah di mana apabila ia telah dipasang, ia tidak boleh dibuka semua kecuali ia digunting oleh seseorang.

Dalam hubungan untuk menjaga keselamatan orang ramai, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai jika mereka nampak sesiapa yang mempunyai gelang berkenaan berjalan-jalan di luar, mereka harus segera melaporkan perkara itu kepada pihak yang berkuasa bagi tindakan segera kerana mereka tidak sepatutnya berada di luar tetapi seharusnya berada di rumah menjalani pengasingan mereka. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa setelah menamatkan tempoh kuarantin atau disahkan sembuh, gelang itu akan dipotong atau digunting oleh petugas-petugas kesihatan yang akan berkunjung ke rumah.

Manakala itu, ketika menjawab persoalan jika terdapat kemungkinan mereka yang mempunyai gelang itu akan cuba untuk menyembunyikannya dengan menggunakan pakaian lengan panjang, Yang Berhormat Dato berkata ia adalah amat sukar bagi mereka untuk sentiasa menyembunyikannya dengan selesa sepanjang masa.

Oleh itu, beliau menekan-kan lagi bahawa pengenalan penggunaan gelang berkenaan adalah untuk tidak menggalakkan mereka keluar dari rumah serta memberikan amaran kepada mereka yang dipasangkan gelang bahawa jika pihak berkuasa berkunjung ke rumah pada hari ke-14 dan mendapati bahawa gelang itu telah ditanggalkan, mereka akan dengan segera berhadapan dengan denda kompaun $5,000.

Yang Berhormat Dato turut menyeru orang ramai untuk segera melaporkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei jika mereka nampak sesiapa yang mempunyai gelang berkenaan berada di kawasan awam.