Gelang GPS kesan keganasan rumah tangga

PARIS, 24 SEPT – Hakim Perancis tidak lama lagi mempunyai pilihan untuk memperoleh pengesan elektronik gelang kaki untuk mereka yang melakukan kesalahan keganasan rumah tangga, kata kerajaan hari ini, tatkala negara itu bergelut dengan peningkatan jumlah wanita yang dibunuh oleh pasangan mereka.

Langkah itu, yang telah lama dituntut oleh penyokong hak, diluluskan oleh parlimen pada tahun ini dan akan dilancarkan berperingkat-peringkat mulai esok, menurut satu perintah dalam buletin kerajaan Perancis.

Tindakan itu merupakan sebahagian daripada tindakan keras kerajaan ke atas keganasan rumah tangga yang dijanjikan oleh Presiden Emmanuel Macron, yang telah mengumumkan latihan tambahan untuk polis dan penubuhan 1,000 tempat baharu dalam pusat kecemasan.

Pengesan GPS memberitahu wanita serta polis sekiranya pendera dikenali berada pada jarak dekat dengan mangsa mereka.

Statistik rasmi menunjukkan 146 wanita terbunuh dalam kes keganasan rumah tangga pada tahun lalu, meningkat daripada 121 pada 2018.

Pada keseluruhannya, kerajaan menganggarkan lebih daripada 200,000 wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga setiap tahun, dengan banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.

Pada mulanya, mahkamah di lima bandar yang boleh mengeluarkan gelang kaki itu, tetapi mereka boleh diperoleh di seluruh negara pada akhir tahun ini, menurut kementerian kehakiman, menambah kira-kira 1,000 pengesan sudah dipesan. – AFP